Sewaktu mula-mula diperkenalkan di Malaysia, kanta lekap cuma diberikan secara preskripsi kepada mereka yang betul-betul layak menggunakannya sahaja. Menurut Contact Lens Spectrum, dianggarkan 125 juta orang menggunakan kanta lekap di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.

Walaupun statistik menunjukkan jumlah penggunaan kanta lekap yang banyak, namun masih ramai yang tidak peka akan cara penggunaannya yang betul dan sering cuai dalam mengendalikan kanta lekap.
Penggunaan kanta lekap yang salah mampu menyebabkan jangkitan pada mata dan boleh hadapi risiko buta tau! Jika anda pengguna tegar contact lens, ini yang perlu anda tahu:
1. Basuh tangan sebelum guna
Kita selalu basuh tangan bila nak makan kan? Lainlah kalau yang guna sudu atau chopsticks. Kita basuh tangan sebelum menjamah makanan sebab kita sedar yang tangan kita penuh dengan bakteria. Jadi, kita perlu basuh tangan sebelum sentuh dan letakkan kanta lekap ke mata kita untuk elakkan bakteria dari tangan beralih ke kanta lekap pula.

2. Elakkan tidur sambil memakai kanta lekap
Nak tanggalkan kanta lekap setiap malam sebelum tidur memang perkara remeh, tambah-tambah bila sudah terlalu letih dengan aktiviti seharian. Menurut CDC, tidur dengan memakai kanta lekap boleh menyebabkan 6 hingga 8 kali jangkitan lebih cepat kepada si pemakai. Jangan lupa tanggalkan kanta lekap sebelum tidur!

3. Elakkan mandi atau berenang sambil guna kanta lekap
Mata secara umumnya perlu diberi perhatian teliti. Mandi atau berenang menggunakan kanta lekap boleh menyebabkan bakteria dari air beralih ke mata dan boleh menyebabkan anda berhadapan risiko jangkitan atau masalah mata yang lebih teruk.

4. Tukar kanta lekap on-time
Kanta lekap dicipta untuk kemudahan manusia, tetapi janganlah selalu sangat pakai sampai lupa nak tukar. Verge Science melaporkan 45 peratus orang dewasa hanya tukar kanta lekap mereka jika salah satu kanta hilang. Korang pun macam tu ke?
Durasi penggunaan kanta lekap biasa ada yang hanya tahan beberapa minggu sahaja tapi ada juga yang boleh guna sampai berbulan-bulan mengikut jenis dan ketahanan.

Jadi jangan lupa tukar kanta lekap anda bila tiba masanya!
5. Tukar bekas kanta lekap setiap 3 bulan
Bukan sekadar kanta lekap yang perlu ditukar, bekas pun sama! Bekas kanta lekap seharusnya ditukar setiap tiga bulan kerana bakteria boleh berkumpul dan akan menjejaskan kualiti kanta lekap anda. Jika anda baru beli contact lens, tapi rasa macam ada sesuatu yang tak kena sewaktu memakainya, mungkin boleh periksa bekas kanta anda!

6. Guna cecair rendaman kanta lekap yang betul
Baca arahan penggunaan cecair kanta lekap yang betul dan jangan main tuang je. Gunakan cecair rendaman kanta lekap atau larutan disinfeksi yang sesuai menurut jenis kanta lekap anda. Elakkan guna air paip kerana mungkin nampak bersih tetapi kita tak nampak molekul-molekul merbahaya di dalamnya yang boleh memberi jangkitan merbahaya kepada mata kita.

Bagi anda yang gemar menggunakan kanta lekap, jangan lupa berunding dan dapatkan nasihat optometris dulu sebelum membeli untuk mendapatkan jenis kanta lekap yang sesuai dengan mata kita dan mengelakkan dari terkena jangkitan merbahaya!