Bukan sahaja keluarga dan kenalan rapat malah rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan dan mendoakan turut berduka dengan berita pemergian Siti Sarah Raisuddin.
Namun kedukaan yang kita rasai tentulah tak sama dengan suaminya, Shuib yang kehilangan isteri tercinta.
Menurut Berita Harian, ketika ditemui di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Shuib memberitahu yang dia sempat membuat panggilan video terakhir ketika arwah isterinya sedang bertarung nyawa di ICU.
“Air mata berlinangan di pipinya”
Shuib kongsikan, panggilan video tersebut turut disertai tiga anaknya Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin.
Ketika panggilan tersebut dibuat, mereka sempat melihat air mata arwah berjuraian di pipi seolah-olah memahami perbualan tersebut.
Dengan bantuan jururawat dan doktor, saya membuat panggilan video, itulah kali terakhir saya dan anak-anak dapat menatap wajah arwah ketika masih bernyawa.
“Ketika itu, saya nampak air mata berlinangan di pipinya, seolah-olah memahami apa yang kami bualkan dengannya.”
Cabaran beritahu anak-anak mengenai pemergian ibu mereka
Tambah Shuib lagi, selepas anak-anaknya tidur, dia sempat pergi ke hospital untuk mengetahui keadaan isterinya namun dia tak dibenarkan masuk oleh pihak hospital.
Saya sempat ke hospital selepas anak-anak tidur dan selesai majlis bacaan Yassin dan doa selamat, malam tadi.
“Bagaimanapun, saya tidak dibenarkan bertemu arwah. Saya kemudiannya berpatah balik ke rumah.”
Walau bagaimanapun, Shuib reda dengan pemergian Siti Sarah namun memaklumkan cabaran sebenar dia nanti apabila dia perlu memberitahu anak-anak berita pemergian ibu mereka ini.
Cuma, cabaran saya untuk memaklumkan kepada tiga cahaya mata mengenai ketiadaan arwah ibunya.”
Shuib yang kelihatan tenang itu turut berjanji akan menjaga empat orang cahaya matanya termasuk anak bongsu mereka yang diberi nama Ayash Affan yang baru berusia tiga hari itu.
Baca: “Arwah sempat hadiahkan Ayash Affan” – Shuib Redha, Siti Sarah Pergi Lepas Bergelut Selamatkan Anak