Dua orang atlet ping-pong Korea Utara yang memenangi pingat perak dilaporkan berkemungkinan dihukum selepas mereka berdua berswafoto dengan atlet Korea Selatan di podium ketika upacara mengalungkan pingat acara sukan ping-pong di Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.
Perkara itu dilaporkan oleh media Daily NK.
Difahamkan, dua orang atlet Korea Utara itu iaitu Ri Jong Sik dan Kim Yum Yong dilaporkan telah dinilai dengan negatif oleh pihak kerajaan mereka selepas berswafoto dengan atlet Korea Selatan.
Menurut laporan Daily NK, penilaian negatif itu bukan hanya kerana mereka berswafoto, namun kerana kedua-dua atlet itu ‘tersenyum berlebihan ‘ketika berdiri bersebelahan dengan atlet-atlet Korea Selatan.
Kedua-dua atlet Korea Utara itu bukan hanya berswafoto dengan atlet-atlet Korea Selatan, malah atlet-atlet dari China juga turut menyertai selfie itu ketika di atas podium setelah masing-masing memenangi pingat.
Artikel Berkaitan: Ini Sebab Kenapa Atlet Korea Utara Tidak Dapat Telefon Pintar Samsung Edisi Paris 2024
Artikel berkaitan : Penyampai Buat Silap, Perkenalkan Korea Selatan Dengan Nama Rasmi Korea Utara Ketika Acara Pembukaan Olimpik Paris 2024
Menurut laporan Allkpop pula, seorang lagi atlet Korea Utara, Kim Min Rae yang memenangi pingat gangsa acara terjun kategori 10m platform turut berswafoto dengan atlet-atlet dari China ketika di podium ketika acara pemberian pingat.
Namun, dia mengelak daripada memegang telefon pintar Samsung dan membiarkan telefon pintar jenama itu dipegang oleh atlet China untuk berswafoto.
Difahamkan, atlet-atlet Korea Utara yang menyertai temasya sukan antarabangsa lazimnya akan melalui tiga tahap proses penilaian ideologi dan ianya adalah untuk ‘membersihkan’ minda atlet dari pengaruh budaya luar.
Walau bagaimanapun, setakat ini, tidak dapat dipastikan jika atlet-atlet Korea Utara ini benar-benar akan dihukum ataupun hanya diberi amaran.
Menurut sumber yang memberitahu Daily NK, atlet Korea Utara yang berhubung dengan atlet negara lain seperti berswafoto perlu merenung-renungkan kesalahan mereka ketika sesi kritikan diri sendiri untuk mengelakkan hukuman dari pihak pentadbiran negara itu pada masa depan.