Malam tadi, berlakunya satu kejadian rompakan kedai emas dalam sebuah pasar raya dekat Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.
Menerusi video rakaman CCTV yang tular, dipaparkan suspek yang merupakan dua orang lelaki, memakai topi keledar dengan penutup muka separuh dan jaket hujan hitam serta menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 telah berhenti di hadapan pasar raya sebelum masuk ke dalam premis itu sekitar jam 8 malam.
Bersama mereka, kelihatan sebuah beg e-hailing yang dilihat digunakan untuk membawa lari barang kemas yang dicuri.
2 lelaki bersenjata, bawa beg ‘e-hailing’ rompak kedai emas di Nilai
Dua lelaki yang berpelitup muka melarikan 15 dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai RM60,000 dari sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Bandar Baru Nilai, di sini, malam tadi. FOTO IHSAN POLIS. pic.twitter.com/Qe3I1w1Rtf
— Berita Harian (@bharianmy) January 20, 2026
Artikel berkaitan: Tular CCTV Rakaman Rompakan Di Taman Sri Muda, Wanita Ditikam 8 Kali Oleh Perompak Warga Asing
Artikel berkaitan: Rompakan Paling Berani! Kisah Geng Mamak Rompak Jongkong Emas RM12 Juta Dari Subang Airport
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kedua-dua suspek dikesan bersenjatakan pistol ketika lakukan rompakan.
Bagaimanapun tiada sebarang tembakan dilepaskan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
“Setakat ini nilai kerugian masih belum dapat dipastikan dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya kepada Berita Harian.
Menurut laporan, kejadian itu dikatakan berlaku dalam tempoh 25 saat dan suspek telah berjaya melarikan 15 dulang barang kemas yang bernilai RM60,000 ala koboi dari kedai emas di pasaraya berkenaan.

Antara barang kemas yang dilarikan termasuklah cincin, loket, gelang dan rantai yang mana dipercayai mereka menggunakan beg penghantaran berwarna oren untuk membawa keluar barang rampasan.
Ketika kejadian, hanya terdapat dua pekerja berada di dalam kedai emas berkenaan dan tiada pelanggan,” kata pihak polis.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan rompakan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sumber: Berita Harian
