Sejak dari dulu lagi, memang banyak kes di seluruh dunia di mana orang telah masuk ke dalam penjara walaupun sebenarnya mereka tak bersalah. Di Amerika Syarikat, ramai orang terutamanya yang mempunyai kulit berwarna telah dihukum bersalah bagi memudahkan pihak berkuasa untuk menutup sesuatu kes jenayah.
Perkara ini turut berlaku ke atas Thomas Perez Jr apabila bandar California telah bersetuju untuk membayar ganti rugi sebanyak US$900,000 kepadanya selepas dia telah disoal siasat selama 17 jam sehingga terpaksa mengaku membunuh bapanya sendiri kerana tekanan psikologi yang diterima. Ini kisahnya…
Thomas Perez Jr disoal siasat sehingga 17 jam atas dakwaan bunuh bapa sendiri
Insiden ini telah berlaku pada petang 17 Ogos 2018 apabila bapa Thomas Perez Jr, Thomas Perez Sr yang tinggal bersama-samanya telah keluar rumah membawa anjing peliharaan mereka untuk mengambil surat.
Namun begitu, beberapa minit kemudian anjing tersebut telah pulang sendiri tanpa Perez Sr. Keesokan harinya, Perez Jr telah membuat panggilan kepada pihak polis untuk melaporkan kehilangan bapaya itu.
Panggilan tersebut telah disambut oleh seorang pegawai polis, Joanna Pina yang melaporkan bahawa gelagat Perez Jr kelihatan mencurigakan serta tak risau dengan kehilangan bapanya. Ekoran ini, Pina dan penyelianya, Koperal Sheila Foley telah pergi ke rumah Perez dan membawa lelaki ini untuk disoal siasat.
Pihak polis kemudiannya telah menggeledah rumah tersebut dan mendakwa bahawa terdapat kesan darah serta anjing pengesan dikatakan dapat bau mayat. Peguam Perez Jr, Jerry Steering kemudiannya mengatakan bahawa tak ada darah di rumah tersebut dan turut sertakan gambar yang diberikan oleh pihak polis sebagai bukti. Gambar tersebut menunjukkan kesan kotoran kecil yang terdapat di tangga karpet.
Perez Jr telah duduk di dalam bilik siasatan selama berjam-jam untuk disoal siasat sementara pihak polis menunggu waran tambahan yang membenarkan mereka untuk mengakses telefon yang telah dirampas.
Dalam masa itu juga, Perez Jr turut di bawa keluar ke beberapa lokasi berlainan atas tujuan untuk menyiasat kehilangan bapanya. Dua pegawai polis yang ditugaskan untuk menyoalnya juga turut merendah-rendahkan lelaki ini dan mendesaknya dengan mengatakan yang Perez Jr telah membunuh bapanya kemudian tak ingat apa yang berlaku. Selain itu juga, mereka enggan membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan walaupun telah diminta oleh Perez Jr.
Dua pegawai polis ini kemudiannya telah membawa Perez pulang ke balai di mana lelaki ini telah disoal dengan lebih lanjut lagi.
Video soal siasat turut mendedahkan dua pegawai polis ini telah menuduhnya membunuh bapanya selama berjam-jam sementara Perez Jr dilihat dalam keadaan tertekan dan menangis. Perez Jr pada ketika itu tak mempunyai tidur yang cukup dan turut mempunyai masalah kesihatan mental. Dia juga mengalami masalah untuk mengawal emosi ekoran tak dibenarkan untuk mengambil ubat yang dia biasa makan.
Tak cukup dengan itu, dua pegawai polis ini juga turut membawa anjing peliharaan ke dalam bilik siasatan dan memaksa Perez Jr untuk mengaku bunuh bapanya.
Benda ni berlaku. Awak telah bunuh dia dan dia sekarang dah mati. Awak tahu awak dah bunuh dia. Awak tak jujur dengan diri sendiri. Macam mana awak boleh duduk situ dan cakap yang awak tak tahu apa yang berlaku. Anjing ni pun duduk kat sini dan tengok awak sebab dia tahu awak dah bunuh bapa awak. Tengok anjing awak ni, dia tahu sebab dia dah jalan atas darah.”
Ketika soal siasat berlangsung, Perez Jr turut dilihat mula menarik rambutnya, memukul dirinya sendiri dan mengoyakkan bajunya sehingga dia hampir terjatuh atas lantai sehingga diketawakan oleh pegawai polis tersebut.
Di dalam rakaman video, Perez Jr dilihat terbaring atas lantai sambil memegang anjingnya. Pegawai polis ini turut mengatakan yang dia akan didakwa sebanyak US$1 juta sebagai ganti rugi sekiranya lelaki ini enggan membawa mereka ke tempat mayat bapanya disembunyikan.
Lama kelamaan, pegawai polis ini telah membuat dakwaan palsu dengan mengatakan yang mereka telah menemui tempat mayat Perez Sr disembunyikan dan mayat tersebut telah di bawa ke rumah mayat dengan tanda tikaman.
Ekoran terlalu tertekan kerana lama disoal siasat, Perez Jr akhirnya mengalah dan membuat pengakuan palsu bahawa dia telah membunuh bapanya sebelum dia akhirnya ditinggalkan berseorangan di bilik tersebut. Selepas ditinggalkan, rakaman video menunjukkan Perez Jr cuba untuk membunuh dirinya sendiri.
Perez telah diperkecilkan, ditekan dan dipaksa untuk membuat pengakuan palsu selepas disoal selama 17 jam. Mereka lakukan perkara ini walaupun tahu perkara ini akan mengganggu keadaan mental dan fizikalnya.
Cara pegawai ini telah memberi kesan yang sangat besar ke atas Perez sehingga dia terpaksa membuat pengakuan palsu membunuh bapanya dan cuba untuk membunuh diri di balai.”
Selepas membuat pengakuan tersebut, Perez Jr telah di bawa ke hospital untuk ditahan secara sukarela atas sebab masalah mental dan untuk pertama kalinya, pihak polis telah membacakan hak Miranda kepada lelaki ini memberitahu bahawa dia mempunyai hak untuk mendiamkan diri.
Pada malam itu juga, salah seorang detektif ini telah menerima panggilan dari anak perempuan Perez Sr mengesahkan bahawa bapanya itu telah pun ditemui dan masih lagi hidup.
Perez Sr dikatakan telah meninggalkan rumah mereka untuk melawat kawannya, kerana itu dia tidak pulang ke rumah. Peguam Perez Jr mengatakan bahawa pihak polis tidak memberitahu lelaki tersebut bahawa bapanya masih lagi hidup dan membiarkan dia ditahan selama tiga hari di wad psikiatri hospital sambil percaya bahawa anjingnya dan bapanya telah dibunuh.
Dapat bayaran ganti rugi hampir US$1 juta
Satu tuntutan telah difailkan dan ketika perbicaraan kes ini, hakim mengatakan bahawa soal siasat tersebut telah dilihat sebagai “penyeksaan psikologi” dan bandar California telah bersetuju untuk membayar tuntutan saman sebanyak US$898,000 kepada Thomas Perez Jr.
Kes ini telah mengundang kemarahan lebih-lebih lagi selepas rakaman Perez Jr dalam keadaan tertekan telah tular.
Bagaimanapun, pihak polis Fontana dan peguam yang mewakili California tidak memberikan apa-apa komen ke atas kes ini dan tidak memberitahu sekiranya pegawai-pegawai yang terlibat akan dikenakan tindakan ataupun tidak.
Di antara menyeksa mental Tom Perez untuk membuat pengakuan palsu dan menghalangnya dari mengetahui bahawa bapanya masih hidup dan sihat serta menahannya dalam wad psikiatri kerana telah membuat dia rasa ingin membunuh diri, dalam masa 40 tahun menyaman polis, saya tak pernah nampak kekejaman sampai ke tahap ini oleh pihak polis.”
Sumber: The Guardian