Inkues merupakan suatu penyiasatan kehakiman, biasanya oleh sebuah kumpulan yang dilantik oleh mahkamah (juri), di dalam bidang kuasa common law.
Bagi kes melibatkan serangan di Masjid Christchuch yang berlaku pada 2019, Timbalan Ketua Koroner, Brigitte Windley bakal memulakan proses tersebut bagi menentukan fakta berkaitan kematian 51 mangsa terbabit.
Dalam pada itu, keluarga 51 mangsa yang terkorban dalam tragedi serangan di dua masjid itu mengharapkan inkues yang bakal bermula nanti akan menjawab persoalan sama ada ahli keluarga mereka mampu diselamatkan atau tidak ketika kejadian.

Pada 2019, seorang pelampau kulit putih, Brenton Tarrant telah melakukan serangan bersenjata yang menyebabkan 51 jemaah masjid maut dalam kejadian tembak beramai-ramai terburuk di New Zealand tersebut.
Inkues yang akan bermula esok oleh Windley bagi menentukan fakta berkaitan kematian mangsa dijangka berterusan sehingga pertengahan bulan Disember.
Menurut jurucakap yang mewakili ahli keluarga mangsa, dia mahukan jawapan segera dan apa yang penting adalah bagi mereka untuk memahami kebenaran dalam insiden terbabit.
Tambahnya lagi, keluarga mangsa bersatu dalam usaha memahami dan mendapat pencerahan sama ada orang tersayang mereka mampu diselamatkan dalam kejadian itu.
Artikel berkaitan : “Dah beli jaket kalis peluru” – Pelajar Ditahan Rancang Bunuh Jemaah di 2 Masjid Singapura Sempena ‘Anniversary’ Tragedi Christchurch
Artikel berkaitan : Bunuh 51 Orang Islam Dalam Tembakan Rambang di Christchurch, Brenton Tarrant Dipenjara Sepanjang Hayat
Dalam pada itu, inkues itu juga akan memeriksa kejadian berkenaan dari awal serangan hingga peringkat soal siasat Tarrant oleh polis, serta tempoh respons polis dan perkhidmatan kecemasan ke tempat kejadian.
Antara persoalan yang diajukan adalah tempoh mangsa ditinggalkan di masjid tanpa sebarang tindakan untuk tempoh lama dan juga tindakan polis yang tidak membenarkan sesiapa membawa mangsa keluar dari tempat kejadian.
Selain itu, soalan lain untuk dipertimbangkan oleh koroner termasuklah sama ada Tarrant mendapat bantuan sesiapa, selain tindak balas perubatan berbeza mungkin dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Pihak keluarga juga mempersoalkan sama ada pintu kecemasan di Masjid Al Noor tidak dapat dibuka pada hari kejadian.
Terdahulu, serangan dilaksanakan Tarrant telah menggemparkan New Zealand dan dikecam seluruh dunia.
Dia kemudiannya mengaku salah atas 51 tuduhan bunuh, 40 tuduhan cuba membunuh dan satu tuduhan keganasan. Dia kemudiannya dipenjara seumur hidup tanpa parol bermula Ogos 2020.
Jacinda Arden sebagai Perdana Menteri ketika itu dengan pantas mengetatkan undang-undang kawalan senjata api susulan kejadian itu selain meletakkan tekanan terhadap gergasi media sosial untuk menyekat ekstremisme dalam talian.
Sumber : FMT
