Umum mengetahui, MyKad atau kad pengenalan (IC) merupakan antara dokumen peribadi yang sangat penting dan perlu dijaga sebaik-baiknya.
Banyak urusan sama ada rasmi mahupun tidak rasmi turut menggunakan MyKad sebagai pengesahan identiti. Kita juga dimaklumkan kad pengenalan ini mempunyai ciri-ciri keselamatan yang ketat.
Data 17 juta rakyat Malaysia didakwa bocor
Pun begitu, tular satu dakwaan di media sosial yang mengatakan data MyKad seramai 17 juta rakyat Malaysia bocor dan dijual di laman dark web.
Perkara itu didedahkan menerusi satu hantaran oleh akaun X dikenali sebagai Fusion Intelligence Center @ StealthMole. Hantaran itu turut berkongsi beberapa gambar MyKad yang dipercayai telah dibocorkan itu.
Artikel berkaitan: “Lebih canggih” – Kad Pengenalan Lama Bakal Dimansuhkan, Ini Ciri-ciri MyKad Generasi Baharu
“Didakwa bahawa data 17 juta MyKad warga Malaysia telah dibocorkan dan sedang dijual dalam dark web.”
Katanya, sampel MyKad yang dipamer secara terbuka menimbulkan kebimbangan terhadap isu kecurian identiti dan risiko penipuan kewangan.
“Sebagai bukti, mereka telah berkongsi secara terbuka sampel kad pengenalan Malaysia dalam dark web.
“Pelanggaran data besar-besaran ini menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh membawa kepada jenayah serius seperti kecurian identiti dan penipuan kewangan,” tulisnya.
Walau bagaimanapun, setakat ini belum dapat disahkan dakwaan akaun X terbabit.
Difahamkan, dakwaan sebegini bukanlah kali pertama berlaku, yang mana pada tahun 2022 terdapat dakwaan maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Astro dan Maybank antara 13 juta data pengguna yang dibocorkan di sebuah laman web dikenali sebagai dark web.
Maklumat yang didakwa bocor membabitkan nama penuh pengguna, tarikh lahir, alamat serta nombor kad pengenalan.
Sumber: Sinar Harian, X