Bagai haruan makan anak, itulah yang boleh diungkap apabila mendengar kes seorang bapa apabila sanggup melakukan perbuatan terkutuk terhadap anak kandungnya.
Seorang tukang urut telah dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun serta 30 sebatan selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya.
Menurut laporan Harian Metro, tertuduh berusia 46 tahun itu membuat pengakuan bersalah sebaik ketiga-tiga pertuduhan dibaca.
Hakim menitis air mata baca fakta kes
Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat, menitiskan air mata ketika jurubahasa membacakan fakta kes tertuduh di hadapannya.
“Sebagai ayah, kamu sepatutnya menjadi wira dalam keluarga melindungi anak-anak. Saya sedih mengapa perkara ini boleh berlaku,” kata Abu Bakar.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya berusia 14 tahun dengan kejadian pertama berlaku pada 22 Jun lalu.
Dia sekali lagi mengulangi perkara sama pada 26 Jun dan kejadian terakhir dilaporkan berlaku pada 3 Julai lalu. Semua ketiga-tiga kejadian berlaku di tempat sama iaitu sebuah rumah di Batu Pahat.
Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan sehingga 10 kali bagi setiap pertuduhan.
Selepas mengambil kira pengakuan tertuduh, hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan 10 sebatan masing-masing untuk pertuduhan pertama, kedua dan ketiga.
Sebelum ini, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum susulan kes rogol melibatkan bapa kandung baru-baru ini selain mencerminkan kepentingan awam melebihi tertuduh.
Baca: Bapa Tak Berperikemanusiaan Rogol 2 Anak Kandung, Seorang Hamil