Sekarang, harga semua benda mahal, termasuklah barang mentah di pasaran. Jadi, kita tidak boleh berbelanja sewenang-wenangnya. Salah satu cara terbaik untuk berjimat pada saat genting ini adalah dengan memilih sayur-sayuran segar di pasaran. Tetapi, kalau tak biasa beli sayur-sayuran, macam mana nak pastikan apa yang dipilih itu segar, selamat dan tahan lama?
Kali ini, kami akan kongsikan beberapa petua untuk beli sayur-sayuran segar di pasaran. Ikuti tip di bawah agar anda dapat melakukan pembelian yang bijak.
Tip beli sayur-sayuran segar di pasaran
Sebelum beli, ikut teknik pilih sayur yang kami berikan di bawah:
1. Cara pilih tomato
Jika anda ingin membeli tomato, pilih buah yang mempunyai warna paling terang.
Permukannya pula haruslah licin dan berkilat.
Pilih tomato dengan daun yang masih lagi berwarna hijau dan belum layu. Ini menandakan tomato tersebut sudah masak.
Anda juga boleh picit sedikit buah tomato tersebut. Kalau lembut sangat, itu tandanya ia sudah terlalu masak. Tapi, jangan picit secara keterlaluan pula, orang lain pun nak makan juga!
2. Cara pilih sayur-sayuran hijau
Semasa membeli sayur-sayuran hijau, pilih sayur yang nampak segar, belum layu dan tidak mempunyai daun yang kekuning-kuningan.
3. Cara pilih sayur bendi
Antara tip yang paling popular untuk pilih bendi yang segar adalah dengan mematahkan hujung bendi.
Kalau senang patah, maksudnya bendi tersebut masih muda dan segar. Tapi, tak eloklah la kalau semua bendi kita nak patah-patahkan.
Ada satu lagi tip yang mungkin orang tak tahu. Caranya adalah dengan melihat lubang pada tangkai bendi. Kalau tangkai tidak berlubang, itu tandanya bendi muda.
4. Cara pilih timun
Timun yang bersaiz kecil selalunya lebih manis. Pilih yang berwarna hijau gelap dan lurus. Jika hujungnya dah berwarna kuning atau putih, itu bermaksud timun itu sudah tua.
5. Cara pilih lobak merah
Pilih lobak merah yang bersaiz sederhana, lurus dan berwarna oren terang. Jangan beli lobak yang ada kesan-kesan torehan. Selalunya, ia tidak tahan lama.
6. Cara pilih bawang merah dan putih
Pilih bawang yang mempunyai kulit yang belum longgar. Jangan beli bayang yang dah kecut, bertompok-tompok atau dah bercambah.
Bawang boleh disimpan di luar, asalkan ia ditempatkan di kawasan yang kering.
Bawang putih pula lebih baik diasingkan dari makanan lain dan disimpan di kawasan yang gelap dan sejuk.
7. Cara pilih kentang
Beli kentang yang masih lagi keras, tidak lebam dan tidak berlubang.
Kalau boleh, elakkan membeli kentang yang sudah tumbuh ‘mata’ atau dah berwarna hijau. Kentang hijau sudah tidak boleh dimakan!
Kentang juga boleh disimpan di luar. Jadi, ia tidak perlu disimpan di dalam peti ais. Sebelum makan, buang dulu bahagian yang hijau dan sudah bertunas.
8. Cara pilih terung
Sama seperti sayuran lain, pilih terung yang berwarna sekata dan tidak bertompok. Jaga-jaga, terung yang berlubang selalunya ada ulat!
Dengan panduan di atas, kami berharap agar anda dapat membeli sayur-sayuran dengan bijak!
BACA: Manusia Pertama Ada Allergic Sayur, Badan Naik Ruam & Mudah Sakit Bila Makan