Pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia baru-baru ini telah menjelaskan, bahawa dia tidak sama sekali menyimpan dendam terhadap Malaysia setelah dia mencipta kontroversi dengan membuat beberapa jenaka sensitif.
Antara lawaknya yang telah mengundang amarah netizen adalah mengenai kehilangan pesawat Malaysia MH370 yang didakwa tidak mendarat.
Menurut laporan CNN, Jocelyn memberitahu, rutin lawaknya itu telah dilakukan lebih daripada seratus kali selama satu tahun setengah tanpa menghadapi sebarang masalah.
Menurut Jocelyn, apabila suatu segmen tertentu dikeluarkan serta dipendekkan menjadi klip video pendek untuk dimuat naik ke dalam media sosial, konteks asal video tersebut akan hilang dan boleh menyebabkan salah faham.
“Saya memang melakukan setiap jenaka saya dengan berhati-hati. Saya berpegang teguh dengan lawak saya secara keseluruhan apabila ia ditonton di dalam kelab komedi,” jelasnya.
Tambah Jocelyn, apabila keseluruhan persembahan itu dipendekkan menjadi klip video untuk tontonan luar kelab komedi ia adalah sangat berisiko.
Selain itu, Jocelyn turut menambah, rakyat Singapura telah lama mempunyai saingan mesra dengan Malaysia dan itulah yang menjadi dasar jenaka itu.
“Saya tidak berdendam terhadap Malaysia. Ia juga merupakan budaya biasa bagi pelawak untuk ‘memanaskan’ penonton secara langsung.”
“Ahli penonton Malaysia sering datang pada saya selepas selesai melakukan persembahan untuk memberitahu mereka menyukai pertunjukan saya,” katanya.
Tambahnya, ada juga penonton Malaysia yang jelas menunjukkan bahawa mereka tidak tersinggung ketika datang kepadanya selepas melakukan persembahan.
Sumber : CNN
Baca : Keluarga Mangsa MH370 Minta Hentikan Jenaka, Dakwa Masih Trauma