Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan bahawa beliau terpaksa menjadi model baju raya bagi mendapatkan sumbangan untuk pengundi di kawasan Parlimennya.
Jelas Ahli Parlimen Muar itu lagi, ia kerana susulan usahanya bagi mendapatkan peruntukan daripada kerajaan masih belum menemui hasil.
Artikel berkaitan : Dr Zulkfli Usik Syed Saddiq Pasal Kahwin, Ajak Orang Muo Beramai Turun Merewang
Artikel berkaitan : Tetap Teruskan Walaupun Terjatuh, Syed Saddiq Berjaya Tamatkan Ironman
“Saya sudah cuba berkali-kali (memohon peruntukan) namun tidak berjaya… sebab itu saya lari dan jadi model. Ada Ahli Parlimen marah saya jadi model.”
“Saya terpaksa jadi model… akhirnya dapat sumbangan RM1 juta untuk Parlimen Muar.”
Sebelum ini Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, menegur Syed Saddiq supaya tidak melupakan rakyat Muar hanya kerana beliau sering bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, mempromosikan baju raya sebuah jenama.
Pada masa sama, Syed Saddiq berkata, pihaknya meminta kerajaan supaya tidak lagi berteka-teki dalam aspek pemberian peruntukan kepada pembangkang.
Sebaliknya beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan di Dewan Rakyat sama ada peruntukan itu akan diberikan ataupun tidak.
“Isu peruntukan sebagai Ahli Parlimen Muar, saya konsisten dan beberapa kali cuba berunding. Saya ikut petua Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya berunding dengan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof).”
“Saya sudah berunding sebanyak lima kali, surat demi surat sudahpun dihantar. Lebih 400 hari tetapi bantuan daripada kerajaan di Pusat Khidmat Parlimen Muar, kosong ringgit.”
“Kalau tak nak (tidak mahu) kasi, cakap sahaja dalam Dewan ini, tak nak kasi jangan bermuka-muka. Di luar kata lain, di dalam kata lain, di luar kata lain lagi.”
Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan supaya mengamalkan politik matang dengan membela pengundi tanpa mengira warna politik.
Sumber : Berita Harian