Dalam pelbagai pengalaman yang dialami pemandu Uber, mungkin inilah pengalaman yang tidak mampu dilupakannya. Seorang pemandu Uber berhadapan dengan detik cemas setelah penumpang wanita yang diambil bersalin di dalam kenderaannya.
Menceritakan pengalaman yang menimpanya semula, Fredoline Lunsin, 31, mengambil wanita itu bersama dua lagi ahli keluarganya di depan Kompleks Megalong, Penampang.
Ibu muda yang berusia 20-an itu kemudian mengadu sakit perut sebelum dia menjerit dan memberitahu kepala bayi dalam kandungannya sudah keluar semasa berada di dalam keretanya.

Wanita itu menghubungi telefon bimbit saya menyatakan mahu ke Hospital Queen Elizabeth (QEH). Saya kemudian mengambilnya di hadapan Kompleks Megalong seperti diminta.”
“Saya fikir dia hanya sakit biasa dan minta dihantar ke hospital. Bagaimanapun, kira-kira enam minit perjalanan dia mengadu sakit perut dan menyatakan mahu bersalin. Saya terkejut dan ketika pusing ke belakang, saya lihat kepala bayi sudah keluar.”
Panik dengan situasi tersebut, Fredoline terus memecut kenderaannya ke hospital dengan secepat yang mungkin tanpa memikirkan apa-apa. Baginya,dia merasa amat bertanggungjawab dalam membantu wanita tersebut dan bayinya yang berada di dalam kereta.

Setibanya mereka di Hospital Queen Elizabeth, Fredoline memberhentikan Perodua Viva miliknya di hadapan pintu kecemasan hospital. Walaupun begitu, wanita tersebut tidak sempat melahirkan anaknya di dalam bilik bersalin dan terpaksa melahirkan di dalam kereta sambil dibantu oleh jururawat.

Beliau yang juga seorang pemandu lori dan berasal dari Tamparuli mengatakan ia adalah pengalaman pertama dia berhadapan dengan situasi cemas seperti itu.
Kedua-dua anak saya lahir di hospital dan saya tidak pernah berdepan dengan situasi cemas seperti ini.”
Walau bagaimanapun menurut Berita Harian, bayi perempuan wanita berkenaan meninggal dunia pada jam 1 pagi semalam disebabkan kekurangan oksigen. Takziah…