Walaupun sedia maklum perlu bersikap profesional ketika menyampaikan tugasan, namun sebagai manusia pasti ada perkara yang tidak dapat disampaikan dengan sempurna seperti yang kita mahu.
Seorang pembaca berita di sebuah stesen penyiaran terkemuka gagal menahan sebak ketika bersiaran secara langsung semalam.
Menerusi sedutan video yang ditularkan dalam media sosial, Norintan Ezreena Amir Hamzah dilihat tidak dapat mengawal emosi ketika menyampaikan berita tentang seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut selepas dirempuh sebuah kenderaan SUV.
Menurut laporan, mangsa ketika itu sedang melintas jalan di Sungai Way, Petaling Jaya kira-kira 5.30 petang Ahad.
PETALING JAYA: Penyampai berita TV3, Norintan Ezreena Amir Hamzah gagal menahan sebak ketika bersiaran secara langsung di Buletin 1.30, hari ini.#Kool101 #EzreenaAmirHamzah #kanakkanak #kemalangan #SungaiWay
Sumber: @BuletinTV3 pic.twitter.com/LHTQANTiSC
— Kool 101 🇲🇾 (@kool101my) July 24, 2023
Terfikir tentang anak
Menurut perkongsian Kool 101, Norintan Ezreena difahamkan tersentuh berikutan nalurinya sebagai seorang ibu yang juga memiliki anak seusia dengan mangsa.
“Ketika saya menyampaikan berita kanak-kanak itu, saya terfikirkan anak saya yang juga berusia empat tahun. Ketika itu naluri saya sebagai seorang ibu tiba-tiba tersentuh.”
“Ini bukan kali pertama saya sebak. Sebelum ini pun ada juga berita yang berkaitan dengan anak kecil, warga emas yang menyedihkan membuatkan air mata saya mengalir. Itu normal sebagai seorang manusia. Cuma saya perlu lebih profesional dalam menyampaikan tugasan” katanya.
Melihat perkongsian video itu, ramai yang mengakui turut sama berasa sebak melihat reaksi pembaca berita berkenaan.
Dalam pada itu, kes ini juga menjadi pengajaran buat semua terutama ibu bapa agar sentiasa memerhati anak kecil. Selain itu, pemandu juga diingatkan tidak memandu laju apabila lalu di kawasan perumahan dan kawasan sekolah.
Baca: “Saman Kalau Kereta Masuk Petak Merah” – Polis Beri Amaran, Petak Merah Hanya Untuk Motosikal