Kecoh sejak semalam berita mengenai seorang wanita bernama Angie Chong Sum Yee, 22, dilaporkan hilang selepas berkunjung ke Thailand pada hujung Mei lalu.
Bagaimanapun, kelibat Angie yang dilaporkan hilang di wilayah Chiang Rai itu dilihat muncul dalam beberapa video yang dimuat naik ke Facebook sambil memberitahu bahawa dia berada dalam keadaan sihat dan selamat.
Video berkenaan sekaligus mencetuskan tanda tanya kepada netizen bahawa adakah Angie benar-benar berada dalam keadaan selamat?
“Hi, saya sekarang kerja di sini dan saya sangat selamat. Jangan risau tentang saya. Jadi polis tolong jangan susahkan penunggang motosikal yang tumpangkan saya itu sebab dia tidak tahu apa-apa pun,” katanya dalam video berkenaan.
Menerusi video berkenaan, Angie dilihat meminta agar pihak polis berhenti mengganggu pemandu yang menghantarnya ke sana kerana pemandu berkenaan langsung tidak mengetahui tentang apa-apa yang berlaku.
Difahamkan, video berkenaan dimuat naik melalui sebuah akaun Facebook bernama ‘Moe Aye’ di ruangan komen hantaran ibu Angie, Chee Choy Wen.
Namun, video berkenaan telah mengundang tanda tanya dalam kalangan warganet kerana raut wajah Angie seolah-olah tidak menggambarkan situasi sebenar dan dipercayai dia dipaksa merakam video berkenaan.
Selain itu, warganet turut mempersoal mengapa Angie tidak berhubung terus dengan ibunya, sebaliknya menghantar video melalui orang yang tidak dikenali di Facebook.
Ibu Angie turut meluahkan rasa tidak percaya terhadap video berkenaan dan masih nekad untuk mencari anaknya itu.
“Saya sudah lama tidak jumpa dia, lama tidak peluk dia. Tolong bagitahu saya apa yang berlaku sebenarnya!,” tulisnya di hantaran tersebut.
Sehingga hari ini, pihak berkuasa masih lagi dalam proses mencari Angie yang dilaporkan hilang di Thailand.
Sumber : Harian Metro, Facebook
Baca : Keluarga Buntu Gadis 22 Tahun Hilang, Kali Terakhir Kelibat Dirakam CCTV Dekat Chiang Mai Thailand