Kecoh di media sosial ketika ini seorang pemandu bas membuat video kandungan yang memaparkan pelajar sekolah rendah dan dimuat naik di TikTok dengan kapsyen yang mengundang kontroversi.
Malam tadi, pemandu bas tersebut ada membuat live di platform TikTok susulan akaunnya telah meraih perhatian ramai termasuklah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Menerusi rakaman live yang dimuat naik netizen di platform X, pemandu bas terbabit mendakwa sudah meminta kebenaran ibu bapa para pelajar yang dipaparkan wajah dalam videonya.
Artikel berkaitan: Muat Naik ‘Content’ Pelajar Sekolah Dengan Kapsyen Kontroversi, ‘Abang Bas’ Ditahan Polis
Artikel berkaitan: “Tak patut dinormalisasikan” – Nancy Shukri Arah Pemandu Bas Rakam Murid Perempuan Disiasat
Katanya lagi, tiada guna orang ramai menghentamnya jika ibu bapa pelajar-pelajar ini tidak mengambil tindakan terhadapanya.
“Korang hentam saya tak guna kalau parents diorang tak ambil tindakan kepada saya. Sebab apa? Saya ada akal.
“Saya dah cakap dengan parents diorang. Kenapa saya boleh tersenyum, boleh happy lagi? Sebab parents diorang, saya sudah beritahu awal,” ujarnya.
Dalam video yang dimuat naik oleh pengguna lain, pemandu bas terbabit meminta maaf andai netizen menganggap tindakannya salah. Dakwanya, niatnya hanya untuk content di TikTok dan hiburan semata-mata.
Bagaimanapun, rata-rata netizen terus mengecam tindakan lelaki itu kerana perkara yang dilakukan adalah salah dan perlu dicegah sebelum melarat.
Menerusi semakan netizen, akaun TikTok pemandu bas itu sudah dihapuskan selepas lelaki terbabit ditahan polis pagi tadi.
Sumber: X