Pelakon dan pelawak, Along Cham yang didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang mengaku tidak bersalah selepas dibacakan pertuduhan memiliki dadah yang ditemui di kediamannya pada Sabtu lalu.
Mengikut pertuduhan, Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, didakwa memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyberjaya.
Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin.
Artikel berkaitan: Mengaku Tidak Bersalah, Along Cham Berdepan Hukuman Penjara Seumur Hidup Kerana Miliki G*nja
Terkejut dengan perkara itu, Along Cham merayu agar dilepaskan dengan jaminan memandangkan keluarganya, telah melantik peguam untuk mewakilinya.
“Saya merayu jaminan kerana ada anak mula bersekolah, saya merayu saya ada anak, saya janji, sumpah akan beri kerjasama,” rayunya.
Bagaimanapun, Hakim Ahmad Fuad tidak membenarkan jaminan berikutan peruntukkan undang-undang mengikut seksyen itu adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
“Dah cakap tak boleh jamin, law kata tak boleh jamin, alasan anak sekolah ke apa, memang law kata tak boleh jamin.
“Kalau boleh jamin dan bergantung kepada mahkamah, boleh saya pertimbangkan untuk bagi jamin. Tapi undang-undang kata tak boleh jamin,” katanya.
Justeru Hakim Amir Affendy tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 27 Januari tahun depan.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, Along Cham didakwa dan mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan sama membabitkan anggaran berat dadah jenis sama 2.07 gram pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ain Madihah Zulkifli tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh mempunyai satu lagi kes di Mahkamah Sesyen yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun peguam Mohd. Fadly memohon dibenarkan ikat jamin kerana anak guammnya perlu menyara seorang isteri dan empat anak.
Majistret Muhammad Bukhori kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes.
Sumber: Kosmo!