Sesetengah orang akan lalui pengalaman misteri ketika menginap di sesebuah penginapan sementara. Itulah yang dialami seorang wanita ini yang telah berkongsi pengalamannya itu di Facebook.
Menurut Oya Suria, dia dan suaminya menginap di sebuah resort di Pekan, Pahang untuk satu malam. Kedua-dua mereka membuat keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan pulang kerana kepenatan selepas menghadiri majlis rumah terbuka di Pekan.
Kedua-duanya tidur awal pada malam itu kerana terlalu letih namun pada jam 4.15 pagi, Oya terjaga dari tidurnya dan lihat suaminya sedang berjaga sambil menggunakan telefon bimbitnya.
Apabila ditanya mengapa tidak tidur, suaminya diam membisu. Tidak lama selepas itu dia terjaga sekali lagi dan menyedari bahawa suaminya masih tidak tidur.
“Saya tanya lagi, ‘kenapa tak tidur lagi ni?’. Suami masih senyap.”
Kerana terlalu mamai dan mengantuk, Oya terus terlena sehinggalah azan subuh berkumandang. Menurutnya, suaminya berjaga sehinggalah waktu Subuh.
Sebaik bangun dari tidur, dia terus memeriksa telefon dan menyedari mesej daripada rakannya, Iera yang dihantar kira-kira jam 1.36 pagi. Oya kemudian bangun dan mempersiapkan diri untuk solat Subuh tanpa membalas mesej tersebut terlebih dahulu. Usai solat, dia bersiap-siap untuk keluar sarapan pagi bersama suaminya.
Tiba di kedai, suaminya mula menceritakan kepadanya mengapa dia tidak tidur satu malam.
“Rupanya suami terjaga jam 4 pagi dan sebenarnya dia ternampak pintu bilik air terbuka (melalui cermin meja solek).”
Menurut suaminya pada ketika itu, tiada angin yang boleh menyebabkan pintu plastik itu terbuka dan dek kerana tidak sedap hati, dia membuat keputusan untuk terus berjaga. Sambil menikmati sarapan, dia membalas mesej dari rakannya itu dan meminta maaf kerana lambat membalas.
Namun apa yang diberitahu rakannya itu sangat mengejutkannya dan suami.
“Dia beritahu ada call saya jam 1.35 pagi. Katanya saya ada angkat call. Tapi… dia hanya dengar suara saya menangis teresak-esak.”
Menurut rakannya lagi, apabila dia memanggil Oya berkali-kali, tetap suara tangisan yang didengari. Rakannya itu kemudian hanya menghantar mesej dan tidak cuba menghubunginya sekali lagi kerana membuat andaian bahawa Oya dan suaminya bertelingkah.
Oya kemudian segera periksa call log di telefon bimbitnya dan ternyata ada bukti dia ‘received call’ dari Iera berdurasi 9 saat! Hantu pun tahu teknologi tau.
Selepas mendengari cerita dari suami dan rakannya, mereka berdua membuat keputusan untuk check out lebih awal.
Ketika mahu memulangkan kunci di reception, dua staf wanita di situ terperanjat selepas dia menceritakan pengalamannya itu. Tiba-tiba seorang pengawal keselamatan berbangsa India mencelah dan berkata,
“Ya, ya. Ada tetamu lain juga cerita itu macam dulu.”
Kedua-dua staf itu kemudian memohon maaf dan memberikannya diskaun. Menurut cerita mereka, resort itu sudah satu tahun tidak beroperasi dan sebelum ini adalah asrama pelajar.
Lebih membuatkannya meremang adalah apabila mereka diberitahu bahawa HANYA mereka berdua sahaja yang menginap di resort tersebut pada malam itu!
Eh, seram pulak cerita dia. Siapa jawab call 9 saat tuuuuu?
Baca: 3 Cerita Sekolah Berhantu Yang Mungkin Belum Pernah Anda Dengar