Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai pengkhabaran duka seorang kanak-kanak lelaki di Maghribi, Rayan, 5, yang terperangkap di dalam sebuah perigi sempit sejak Selasa lalu.
Menurut laporan BBC, selepas empat hari terperangkap di dalam perigi berkedalaman 32 meter itu, Rayan berjaya ditemukan pada petang Sabtu lalu. Walau bagaimanapun, usaha keras pencariannya berakhir dengan tragedi selepas dia disahkan meninggal dunia tak lama kemudian.
Difahamkan, tiada kata putus dikeluarkan mengenai keadaan Rayan ketika dia mula-mula dikeluarkan namun, sukarelawan dan pasukan penyelamat pada mulanya bersorak gembira sewaktu menemukan Rayan.
Walau bagaimanapun, hanya beberapa minit selepas itu, satu kenyataan dikeluarkan yang memaklumkan Rayan sudah tiada.
Sejak berita itu tersebar, ramai pengguna media sosial terutama sekali di Twitter menyuarakan rasa dukacita mereka diatas tragedi terbabit dengan menggunakan tanda pagar #SaveRayan. Untuk pengetahuan, tanda pagar sama juga digunakan oleh penduduk di serata dunia bagi mengikuti perkembangan kanak-kanak ini ketika insiden terbabit pertama kali dilaporkan.
Menerusi satu kenyataan dari istana, Raja Mohammed VI yang turut berdukacita dengan berita terbabit telah memanggil kedua ibu bapa Rayan.
Sumber melaporkan, sebelum kejadian, bapa Rayan sedang membaiki perigi terbabit sebelum dia terlepas pandang dan mendapati anaknya sudah terjatuh ke dalam perigi terbabit.
Usaha menyelamat yang diketuai Morocco’s Civil Protection Directorate bermula pada petang Selasa lalu di bandar Tamorot.
Pada Khamis lalu, menerusi satu rakaman kamera yang diturunkan ke dalam perigi, Rayan dapat dilihat masih sedar dan bernyawa. Pasukan penyelamat cuba menurunkan bekalan oksigen, makanan dan minuman kepadanya. Pun begitu, tidak jelas sama ada Rayan berjaya menggunakan bekalan yang diberikan.
Salam takziah diucapkan kepada keluarga Rayan. Semoga mereka bertabah mengharungi cabaran ini.
Sumber: BBC
Baca: Kanak-kanak Terjatuh Dalam Perigi Sempit Sedalam 32 Meter, #SaveRayan Trending di Twitter