Kalau taknak kenderaan anda ditunda, jangan parkir di tempat yang tidak sepatutnya!
Seorang lelaki menjadi perhatian ramai kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas menunda kereta yang diletakkan di petak parkir motorsikal. Kejadian berlaku di Jalan Dandy, Bukit Mertajam semalam kira-kira jam 2.40 petang.
Lelaki berumur dalam lingkungan 50-an itu yang juga merupakan pemilik sebuah kedai berhampiran lokasi, telah bertindak menghalang MPSP daripada menunda kereta jenis Mercedes kerana kesalahan meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.
Lelaki tersebut dikatakan sanggup bergadai nyawa daripada membenarkan penguatkuasa MPSP menunda kenderaan tersebut dan terus membuat keputusan untuk berbaring di atas jalan dan menghalang daripada kereta itu ditunda. Dah kenapa pakcik ni…
Rupa-rupanya kereta Mercedes yang ingin ditunda pihak MPSP itu adalah kereta milik anak lelakinya. Patutlah beria-ia tak bagi tunda…
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, empat anggota penguatkuasa MPSP sedang menjalankan tugas mengunci tayar di kawasan itu. Mereka kemudian menemui kereta milik anak lelaki berkenaan yang didapati diletakkan di petak parkir motorsikal.
“Mereka (anggota MPSP) meniup wisel sebanyak tiga kali sebagai amaran supaya pemandu mengubah parkir kenderaan tersebut, tetapi tiada jawapan.
Mereka kemudian terus mengunci tayar serta meninggalkan nombor telefon pada cermin kereta itu.”
Selepas satu jam, mereka datang semula ke lokasi untuk mencari pemilik kenderaan berkenaan. Lelaki itu kemudian keluar dari kedai miliknya dalam keadaan yang marah sebelum dimaklumkan bahawa beliau perlu membayar kompaun untuk membuka kunci tayar. Namun, beliau berkeras untuk tidak membayar kompaun tersebut. Dah salah nak marah-marah kenapa aiyo uncle…
Anggota penguatkuasa itu kemudian memaklumkan bahawa kereta itu akan ditunda ke Jalan Betik jika beliau tidak membayar kompaun yang dikenakan.
Ketika kereta itu hendak ditunda, lelaki tersebut bertindak masuk ke bawah kereta itu dan berbaring di atas jalan raya kerana ingin menghalang anggota itu semua menjalankan tugas. Eh, drama lah…
Pihak polis dan orang awam di lokasi berkenaan merasakan perkara itu sesuatu yang sangat lucu meskipun lelaki tersebut benar-benar tekad untuk tidak membenarkan kereta anaknya ditunda.
Nik Ros Azhan berkata, penguatkuasa MPSP gagal memujuk lelaki tersebut walaupun dibantu oleh polis bantuan. Mereka kemudian terpaksa menarik beliau keluar dari bawah kereta milik anaknya itu. Lelaki itu pula dibawa ke Balai Polis Bukit Mertajam untuk tindakan selanjutnya.
“Tiada pergaduhan atau sebarang kecederaan dilaporkan dan lelaki berkenaan kini direman bagi tujuan siasatan,” kata Nik Ros Azhan
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Kan tak pasal-pasal kena tahan polis… Pastikan anda parkir kenderaan di tempat sepatutnya, jangan letak kenderaan di tempat sembarangan. Jangan halang penjawat awam jalankan tugas mereka, kalau dah salah sendiri terima jelah…