Bayangkan jika korang adalah antara saksi pertama yang nampak kejadian nahas pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam dan apa perasaan korang apabila ternampak mangsa dalam kesakitan sedang meminta tolong?
Lebih memilukan, korang tak mampu berbuat apa-apa kerana keadaan mangsa teruk dan hanya boleh melihat kejadian berlaku di depan mata.
Inilah yang situasi yang dihadapi oleh salah seorang saksi kejadian, Muhd Affendi Sobri yang bertugas sebagai pemandu lori, lapor mStar.
“Maaf saya cuba selamatkan arwah tapi tak boleh…”
Menurut Muhd Affendi, dia sehingga sekarang masih terbayang-bayang keadaan arwah yang meminta tolong sehingga tidak mampu tidur kerana teringatkan kejadian itu.
“Masih tak boleh tidur terbayangkan arwah.
“Kapal terhempas depan mata saya dan saya turun dari lori, terdengar mangsa minta tolong. Dan saya ambil pemadam api yang ada di dalam lori.
“Saya terus pergi dekat mangsa, masa tu dia masih bergerak. Saya nak dekati dia yang masih bergerak, tapi masih ada barang-barang yang meletup.
“Saya terus pergi tembak pemadam api, tapi tak cukup untuk padam api di badannya. Saya sudah cuba nak menyelamatkan rider motor, maafkan saya,” katanya.
Situasi tersebut juga berjaya dirakam oleh seorang netizen dan kini tular di TikTok memaparkan saksi memegang sebuah tuala berwarna putih berada di tempat kejadian.
Menerusi ruang komen, Affendi juga menyatakan rasa bersalahnya dan meminta maaf kerana tidak mampu melakukan apa-apa untuk mangsa. Sedihnya…
Maaf saya owner yang pegang kain tu, maaf saya cuba selamat arwah tapi tak boleh. Sebab pemadam api saya tak cukup. Maafkan saya arwah,” tulisnya.
“Dia merangkak sebut nama Allah minta tolong”
Tambah Affendi lagi, ketika kejadian, mangsa juga dilihat sempat merangkak untuk meminta tolong dan menyebut nama Allah.
Arwah jerit minta tolong. Saya tak sanggup tengok dia merangkak sebut nama Allah minta tolong.
“Maafkan saya tak dapat selamatkan arwah, saya dah cuba,” katanya.
Dia juga memberitahu bahawa ketika situasi itu terjadi, rakannya yang merupakan kelindan lori telah menghubungi panggilan kecemasan, manakala dia yang keluar untuk menyelamatkan mangsa.
“Mungkin Allah nak uji saya dengan cara ni. Saya kuat kerana arwah… saya masih terbayangkan kejadian,” katanya lagi.
Apa-apapun marilah kita sedekahkan Al Fatihah buat mangsa dan semoga saksi kejadian ini dapat kuatkan hatinya untuk menerima takdir yang berlaku di depan mata.
Baca: MCMC Bakal Kenakan Tindakan Undang-undang Kepada Individu Kongsi Gambar Mangsa Nahas Elmina