Peta Google Earth satellite sering digunakan untuk melihat secara virtual keadaan sesebuah tempat atau lokasi. Barulah kita boleh bayangkan di mana tempat itu berada sebelum mulakan perjalanan.
Namun, baru-baru ini, viral tentang penemuan sebuah halaman rumah di Oxfordshire, England yang dipenuhi dengan timbunan basikal yang dipercayai dicuri oleh individu yang tinggal di rumah berkenaan.
Menurut Mail Online, lelaki berkenaan telah ditahan polis setelah dipercayai memiliki barangan curi. Sebelum itu, jiran-jirannya marah disebabkan ada pembiakan tikus akibat timbunan basikal tersebut.
Difahamkan, ada lebih kurang 500 buah basikal di halaman belakang rumah lelaki yang berusia 54 tahun itu. Timbunan tersebut sangatlah banyak sehingga boleh dilihat dalam Google Earth.
Salah seorang jiran lelaki itu iaitu Colleen Butler berkata lelaki itu telah tinggal di sana hampir 10 tahun dan Butler membuat laporan tentang ‘koleksi’ basikal itu empat tahun lalu kerana bilangan basikal yang ada adalah tidak masuk akal.
Bila saya tanya dirinya, dia mengatakan basikal-basikal itu akan dihantar ke Afrika untuk diberikan kepada kanak-kanak yang memerlukan namun jumlah basikal dilihat tidak pernah berkurang,” katanya.
Tambahnya lagi, objek berkenaan sering dihantar ke rumah itu menggunakan van pada waktu malam dan timbunan itu juga menyebabkan berlakunya masalah tikus yang membiak.
Namun, wanita itu terpaksa membayar proses kawalan makhluk perosak tikus itu dengan duitnya sendiri disebabkan pihak majlis tempatan mendakwa timbunan basikal tidak menyebabkan pembiakan tikus.
Walau bagaimanapun, identiti lelaki tersebut tidak didedahkan dan dia juga dilaporkan telah dibebaskan namun siasatan tetap diteruskan.
Dalam masa yang sama, setakat ini, belum dapat dipastikan lagi sama ada basikal-basikal itu memang betul-betul dicuri ataupun lelaki itu hanya gemar mengumpulnya sebagai koleksi.
Rasanya lebih baik dia jual je basikal-basikal tu, sekurang-kurangnya boleh jugak buat duit kan.
Sumber: Mail Online
Baca: Dari Atas Nampak Macam Bentuk Manusia, Keunikan Bandar Kecil di Itali Ini Jadi Perhatian Ramai