Tular di TikTok, seorang lelaki dirakam bertindak penuh berani menyelamatkan sekumpulan kucing daripada kebakaran.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @karlzidane, kedengaran bunyi kucing mengiau seakan sedang meminta bantuan dari kawasan berdekatan api yang sedang marak.
Difahamkan, kebakaran berlaku di tempat perlindungan kucing jalanan di sebuah flat yang terletak di Taman Perling, Johor Bahru.
Artikel berkaitan: “Nyawa-nyawa ikan” – Bomba Sempat Selamatkan Kucing Ketika Kebakaran Di Apartment Prima Larkin
Artikel berkaitan: [VIDEO] Netizen Gelar 2 Warga Asing ‘Hero’ Lepas Cuba Selamatkan Lelaki Terperangkap Dalam Kebakaran
Dalam video yang dikongsikan, kelihatan seorang lelaki memberanikan diri memanjat pagar untuk mengalihkan kucing-kucing yang terkurung di dalam sangkar terbabit.
@karlzidane Salute dengan brotha ni..kesian byk kucing kat dlm sangkar tu..
Tidak lama kemudian, datang pula beberapa individu lain menghulurkan bantuan membantu lelaki terbabit untuk mengeluarkan haiwan berkenaan.
Menerusi video berasingan, dilihat sekumpulan individu bertungkus-lumus cuba menyelamatkan kucing yang masih hidup daripada kebakaran tersebut.
Menurut Karlzidane, pihak bomba tiba di lokasi kejadian selepas video ini diambil untuk memadamkan kebakaran.
Sementara itu, pemilik tempat perlindungan kucing difahamkan tidak berada di situ kerana sedang menuju ke kampung atas faktor kecemasan semasa kejadian. Turut dimaklumkan, kebakaran terjadi kemungkinan daripada litar pintas.
Rata-rata netizen yang melihat video ini memuji keberanian individu meredah api demi menyelamatkan kucing-kucing terbabit.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan netizen, dikhabarkan ada beberapa ekor kucing yang tidak berjaya diselamatkan semasa kebakaran berlaku.
Sumber: TikTok