in

Sabah Kekal Peneraju Koko Negara, Peranan Tenom & Insentif LKM Pacu Pengeluaran

ft koko lkm

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sabah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang terbesar pengeluaran koko negara, menyumbang sebanyak 73% berbanding Sarawak (17%) dan Semenanjung (10%). Peranan ini disokong kuat oleh kawasan pedalaman, khususnya daerah Tenom, yang mencatatkan pencapaian luar biasa.

Dalam tempoh Januari hingga Ogos 2025 sahaja, Tenom telah menyumbang 47% daripada jumlah keseluruhan pengeluaran koko di Sabah.


Pengiktirafan ini jelas membuktikan bahawa pedalaman Sabah kekal menjadi pengeluar koko utama negara. Komitmen berterusan untuk memacu sektor ini dibuktikan melalui penganjuran Kursus Pasca Tuai dan Penggredan Biji Koko Kering di Kemabong, Tenom, pada 30 September 2025.

WhatsApp Image 2025 09 30 at 13.15.32 8f494a24

Kursus anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Foong Hin. Kursus ini merupakan sebahagian daripada Program Pemulihan Kebun Koko LKM yang dilaksanakan dari tahun 2024 hingga 2026. Program ini bukan sahaja memberikan latihan, tetapi juga insentif signifikan.

Di Sabah, program ini melibatkan 2,084 petani dengan keluasan 1,344 hektar, melalui peruntukan sebanyak RM5 juta. Anggaran nilai insentif input pertanian yang diberikan kepada pekebun adalah antara RM3,500 hingga RM4,000 bagi setiap hektar.

koko 2

Selain Program Pemulihan, LKM juga sedang giat melaksanakan Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan. Program ini bertujuan menambah keluasan dan meningkatkan pengeluaran biji koko negara.

Dalam tempoh lima tahun, program galakan ini menyasarkan peningkatan keluasan tanaman koko sebanyak 2,750 hektar di seluruh negara.

Semua insentif ini menunjukkan kesungguhan Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui LKM untuk membangunkan sektor huluan industri koko Malaysia ke tahap lebih tinggi, di samping meningkatkan pendapatan pengusaha tanaman koko, yang merupakan komoditi berpotensi tinggi untuk kelestarian sektor pertanian. 

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.