Konflik Russia dan Ukraine difahamkan semakin membimbangkan selepas portal berita, Independant melaporkan bahawa tentera Russia telah berjaya menawan Zaporizhzhia, loji kuasa nuklear terbesar di Eropah.
Selain itu, difahamkan konflik kedua negara ini juga turut memberikan kesan kepada banyak sektor yang terlibat. Salah satu contoh ‘mangsa’ terbaru yang tersepit antara perbalahan kedua negara ini adalah Wikipedia.
Umum ketahui, Wikipedia adalah ensiklopedia dalam talian percuma yang dicipta dan disunting oleh sukarelawan di seluruh dunia dan dihoskan oleh Yayasan Wikimedia.
Namun, menerusi satu posting di Twitter, difahamkan pihak Wikimedia di Russia telah menerima satu ‘surat’ berbaur ugutan yang dikeluarkan oleh Roskomnadzor iaitu Perkhidmatan Persekutuan Rusia bagi Penyeliaan Komunikasi, Teknologi Maklumat dan Media Massa.
Menurut penjelasan pihak Wikimedia Russia melalui bebenang Twitter, ugutan tersebut diterima kerana sebuah artikel bertajuk ‘Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine 2022′.
Роскомнадзор прислал уведомление от Генпрокуратуры с угрозой блокировки Википедии за статью «Вторжение России на Украину (2022)». pic.twitter.com/O3vKd7H1GV
— Русская Википедия (@ru_wikipedia) March 1, 2022
Difahamkan, pihak Roskomnadzor telah mendakwa beberapa maklumat yang tertulis dalam artikel berkenaan tidak tepat selain mengandungi mesej palsu mengenai jumlah kematian tentera yang dialami oleh Russia serta sekatan yang dikenakan ke atas akaun bank Russia.
Selain itu, mereka juga menuntut Yayasan Wikimedia supaya menyunting semula penulisan yang dibuat pada artikel berkenaan.
Menjawab ‘ugutan’ yang dilakukan Roskomnadzor tersebut, Wikimedia Russia telah mengatakan bahawa dakwaan ini ‘pada asasnya mustahil’ untuk dinilai, selain mereka juga tidak menggalakkan pihak berkuasa Russia daripada menyekat akses kepada artikel itu kerana ia akan turut menyekat keseluruhan Wikipedia juga.
Tambah mereka lagi, halaman tersebut didapati sering dikemaskini sepanjang masa dan ianya adalah hasil ‘kerja’ penyunting-penyunting sukarelanya, dalam untuk memastikan tiada sesiapa yang boleh memberikan atau memasukkan maklumat palsu atau mengelirukan ke dalam artikel tersebut.
Sebagai bukti, kalau korang pergi ke artikel itu sekarang, akan kelihatan simbol ‘mangga’ di bahagian atas sebelah kanan, menunjukkan bahawa artikel itu telah dikunci kerana vandalisme.
Sebagai tanda ‘melawan’, pihak Wikimedia Russia turut menambah bahawa mereka (Wikipedia) bertindak sebagai sumber penting maklumat yang boleh dipercayai dan fakta semasa konflik Rusia-Ukraine berterusan ketika ini.
Tambah mereka lagi, mereka juga enggan mengalah dengan ugutan sekatan yang dibuat oleh Roskomnadzor dan tetap berpegang pada matlamat mereka untuk membawa pengetahuan kepada orang ramai secara percuma.
Cayalah Wikipedia!
Baca : Tentera Rusia Menangis Terharu Dilayan Baik Orang Ukraine, Diberi Makanan & Video Call Emak