Kecoh di media sosial sejak beberapa minggu ini mengenai kemelut antara balu kepada Abam Bocey, Norhidayah dan keluarga Ali Puteh tentang isu peninggalan harta arwah.
Dalam temubual bersama pihak Melodi TV3 yang disiarkan pada Ahad lalu, Ali Puteh ada mengeluarkan kenyataan bahawa rumah milik arwah abangnya bukan miliknya dan juga milik Hidayah kerana status rumah tersebut masih dalam urusan faraid.
Melihat kepada kemelut yang berlaku itu, seorang peguam syarie yang bernama Muhammad Syarafi tampil berkongsi pandangan dan nasihat dalam usaha menjernihkan keadaan yang berlaku.
Orang paling berhak uruskan harta si mati
Menurut Syarafi, orang yang paling berhak untuk uruskan harta si mati ialah warisnya iaitu isteri dan anak.
Beliau juga memaklumkan jika anak tersebut belum cukup umur untuk menguruskan hartanya sendiri, si ibu akan dilantik sebagai pemegang amanah bagi pihak anak sehingga mencapai usia yang membolehkannya urus harta sendiri.
Jelasnya, balu si mati dan anaknya masih ada hak untuk tinggal di rumah peninggalan arwah sehingga urusan faraid selesai kerana mereka berdua waris yang paling banyak mendapat bahagian dalam harta si mati.
Mengenai pembahagian harta untuk mak kepada si mati juga tetap ada namun tidak banyak iaitu cuma 1/6 sahaja daripada baki harta yang tinggal kerana bakinya semua akan pergi kepada anak lelaki si mati.
“Untuk terima bahagian faraid si mati, Ali jangan buat susah macam ini. Kita faham sahaja dalam bahagian mak yang 1/6 itu ada bahagian Ali jugak tetapi bahagian itu sangat sedikit kalau nak dibandingkan dengan hak anak dan isteri si mati terima.“
Dalam pada itu, beliau juga memesan kepada pelawak tersebut untuk selesaikan segera bayaran saman fitnah RM60,000 kerana perintah tersebut sudah keluar.
“Kita semua faham sahaja Ali nak uruskan bahagian mak dalam harta yang ditinggalkan arwah abang itu.
“Cumanya dalam situasi macam ini ada baiknya Ali cuba kendurkan sikit ego tu dan harmonikan kembali silaturahim yang dah keruh disebabkan isu perebutan harta ni.”
Beliau juga menasihati supaya Ali berjumpa dan meminta maaf kepada kakak iparnya untuk menghentikan persengketaan yang berlaku.
Hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook peguam itu telah meraih lebih 9 ribu perkongsian dan mendapat lebih 8 ribu tanda suka.
Baca: Isu Harta Arwah, Netizen Minta Ali Puteh ‘Hadam’ Penerangan Ustaz Ini