Perlis mempertimbangkan pelaksanaan caj khas RM2 kepada setiap pelancong yang keluar ke Thailand melalui pintu sempadan di negerinya iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian.
Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, cadangan itu bagaimanapun masih di peringkat kajian dan pihaknya sudah pun mengemukakan cadangan awal kepada kerajaan pusat sejak tahun lalu menerusi Kementerian Kewangan (MOF).
“Cadangan ini sudah pun dikemukakan kepada Perdana Menteri dalam satu mesyuarat dan maklum balas yang kita terima agak baik di mana perancangan ini sedang berada dalam peringkat kajian.
“Kita ingin melaksanakan langkah ini yang modelnya diambil seperti pelaksanaan kutipan di sempadan Malaysia-Singapura di Johor Bahru di mana kenderaan yang memasuki atau keluar dari negeri itu dikenakan surcaj,” katanya.
Menurutnya, setakat ini belum ada sebarang langkah yang dibincangkan untuk kutipan surcaj itu seandainya diluluskan oleh kerajaan pusat kelak.
“Berkenaan mekanisme itu, MOF akan tetapkan namun dalam hal ini, kita yakin kerajaan pusat tidaklah hanya akan meluluskan bagi pihak kita sahaja kerana sudah tentu negeri lain yang bersempadan Malaysia-Thailand juga akan melaksanakan perkara yang sama,” katanya.
Tambahnya lagi, pelaksanaan itu secara tidak langsung dapat memberi pulangan balik dan hasil diperoleh sekurang-kurangnya dapat menaikkan infrastruktur di negeri ini untuk kegunaan pelancong dan juga penduduk.
Menurut laporan, jumlah pelancong yang keluar melalui sempadan Perlis sangat tinggi, terutama pada musim cuti sekolah, cuti peristiwa dan hujung minggu, yang boleh mencecah antara 30,000 hingga 50,000 orang sehari.
Rekod imigresen turut merekodkan antara 100,000 hingga 200,000 rakyat Malaysia memasuki Thailand melalui sempadan Perlis setiap bulan dengan anggaran lebih RM4 bilion setahun mengalir ke negara jiran itu.
Sumber: Berita Harian