in

“Ringgit semakin mengukuh” – Ini Beberapa Faktor Yang Rakyat Malaysia Perlu Tahu

Featured Image

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, penambahan nilai ringgit sejak Julai 2024 berbanding USD telah menarik perhatian ramai dan menimbulkan tanda tanya di sebalik faktor kenaikan tersebut selain tidak kurang juga yang tertanya sama ada trend kenaikan ini akan kekal atau sebaliknya. 

Kenaikan ini memberikan indikator jelas kerana ringgit juga telah mengatasi prestasi mata wang negara serantau lain seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan juga Korea berbanding USD.

Ringgit

Bagi menjawab persoalan, berikut merupakan faktor-faktor mengenai kedudukan ringgit serta keadaan semasa ekonomi negara kita.

Halatuju Kadar Polisi Jelas

Pengukuhan ringgit didorong oleh perbezaan kadar faedah antara ekonomi maju dan Malaysia yang semakin mengecil. Dalam hal ini, bank-bank pusat dalam ekonomi maju telah mengurangkan kadar dasar mereka.

Sebagai contoh, Bank of England pada Ogos 2024 mengurangkan -25 mata asas; European Central Bank pada bulan Jun 2024 pula mengurangkan sebanyak -25 mata asas; manakala US Fed dijangka akan berbuat demikian tidak lama lagi.

62304894 L Normal None

Dengan OPR pada 3.00% pada Julai 2024, ini mengecilkan perbezaan antara faedah kadar dalam ekonomi maju dan Malaysia, secara tidak langsung memberi manfaat kepada Malaysia dan juga ekonomi serantau yang lain.

Di Malaysia, kita menggunakan kadar faedah sebagai alat dasar monetari dan ianya menggunakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kini ditetapkan pada 3% berbanding AS yang kadar OPRnya ialah 5.25%. 

Di samping itu, Malaysia menikmati peningkatan prospek ekonomi yang membantu menyokong sentimen pelaburan.

Antaranya, pertumbuhan KDNK S2 sebanyak 5.9% (S1 2024: 4.2%) telah melebihi jangkaan penganalisis dan pasaran dan ianya disebabkan beberapa faktor seperti :

  • Isi rumah masih berbelanja (6.0%, 1S24: 4.7%)
  • Eksport memulih (5.8%,1S24: 2.0%)
  • Ketibaan pelancong yang lebih tinggi (6.0 juta orang, 1S24: 5.8 juta orang.
  • Pelaburan yang lebih kukuh contohnya, aktiviti pembinaan yang tinggi di tengah-tengah perkembangan dalam sektor E&E dan pusat data di seluruh negara (17.3%, 1S24:11.9%).
  • Sokongan dasar yang masih tersedia contohnya bantuan Budi Madani dan juga pengeluaran Akaun 3 KWSP

Pexels Yankrukov 7698916

Dalam erti kata lain, dua faktor yang disebutkan tadi adalah punca-punca utama kepada sentimen pelabur yang bertambah baik, seterusnya membantu pemulihan dalam sentimen pelaburan di Malaysia.

Secara tidak langsung, ini telah menyebabkan ramai daripada pelabur kembali melabur di Malaysia sama ada dalam pasaran saham atau menubuhkan kilang-kilang yang merupakan pelaburan langsung asing. 

Peningkatan permintaan terhadap aset ringgit ini telah membawa kepada ringgit yang lebih kukuh, di samping menambah peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Usaha Lain Untuk Menyokong Ringgit

Bank Negara Malaysia.jpg

Kalau perhatikan prestasi ringgit tahun ini, boleh dikatakan satu-satunya mata wang di rantau ini yang meningkat berbanding USD sejak Februari, kesan positif ini dibantu oleh usaha yang diselaraskan antara BNM dan pihak kerajaan. 

Salah satu usaha yang dijalankan oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia ialah mengambil tindakan yang diselaraskan untuk menggalakkan GLC dan GLIC membawa balik dan menukar pendapatan pelaburan asing mereka. Secara tidak langsung, tindakan ini telah meningkatkan permintaan terhadap ringgit. 

Selain itu, terdapat juga peningkatan penglibatan dengan pihak-pihak korporat lain untuk menggalakkan lebih banyak lagi penukaran pendapatan mata wang asing.

Pergerakan Ringgit Dalam Jangka Masa Pendek

Perlu diketahui juga bahawa pergerakan naik turun ringgit adalah disebabkan oleh pelbagai faktor luaran seperti perbezaan kadar faedah, konflik geopolitik serta kedudukan ekonomi global yang juga secara tidak langsung boleh membuatkan mata wang negara terkesan dalam jangka masa pendek.

Pexels Shattha Pilabut 38930 135620

Sebagai contoh, US Fed menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 525 mata asas dalam beberapa bulan untuk mengawal inflasi, kesannya ringgit menurun disebabkan ramai pelabur memilih untuk melabur di Amerika untuk mendapatkan pulangan lebih tinggi. 

Ada yang mengesyorkan Malaysia menggunakan kaedah yang sama untuk menyokong ringgit, tetapi perkara tersebut hanya akan membebankan peminjam. 

Sekiranya Malaysia memadankan kadar faedah sama seperti Amerika, pembayaran semula pinjaman akan meningkat. Kita ambil contoh RM300,000 pinjaman rumah, mereka akan perlu membayar RM407 lebih banyak daripada sebelumnya.

Pexels Wildlittlethingsphoto 27175812

Oleh itu, daripada mengejar ringgit yang lebih kukuh secara membuta tuli dalam jangka pendek, sebenarnya kita harus fokus untuk mempertingkatkan asas ekonomi kita termasuklah peningkatan produktiviti, menarik pelaburan bernilai tinggi, dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.

Apabila prospek dan prestasi ekonomi kita bertambah baik, ia secara semula jadi akan menarik lebih banyak lagi pelabur dan perniagaan ke Malaysia. Akibatnya, ini akan meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan kita, termasuk aset dalam denominasi ringgit lain.

Penstrukturan Semula Adalah Kunci

Pexels Shahbaz Hussain 3018780 4610271

Itulah sebabnya penstrukturan semula adalah penting. Walaupun perkembangan terkini telah membantu terhadap sentimen pelabur terhadap Malaysia, kita perlu melakukan apa yang perlu untuk mengekalkan kelebihan ini. 

Sesetengah daripada pembaharuan ini mungkin mempunyai kos jangka pendek, dan sesetengahnya pula mengambil sedikit masa untuk menampakkan hasil. Pun begitu, perubahan ini adalah perlu, dan sepatutnya dimulakan dari sekarang. 

Sebagai contoh, pembaharuan yang boleh dilaksanakan termasuk:

  • Komitmen terhadap kemampanan fiskal, contohnya rasionalisasi subsidi
  • Meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja negara
  • Menarik pelaburan bernilai tambah tinggi ke Malaysia
  • Peralihan iklim yang teratur dan adil.

Sekarang adalah peluang yang baik kerana pertumbuhan Malaysia pada tahun  2024 dijangka berada dalam lingkungan 4 hingga 5%. Sesetengah penganalisis juga menjangkakan bahawa pertumbuhan mungkin melebihi 5%. 

Pexels Umaraffan499 88214

Selain itu, banyak daripada pelaburan yang diluluskan dalam sektor semikonduktor dan pusat data, termasuk kemajuan berterusan dalam projek berbilang tahun akan membantu menyokong pertumbuhan. 

Tekanan harga juga boleh dikawal dengan inflasi dijangka berada dalam lingkungan 2.0% hingga 3.5%, walaupun selepas mengambil kira langkah kerajaan.

Adalah penting untuk Malaysia melakukan perkara yang sukar pada masa senang, bukan apabila kita terpaksa melaksanakannya semasa krisis yang mungkin menyebabkan kos kepada rakyat Malaysia menjadi lebih tinggi dan membebankan. 

Pembaharuan struktur akan meningkatkan daya saing Malaysia yang akan memacu minat yang kuat dalam apa yang kita boleh tawarkan sebagai sebuah negara. Akhirnya, ini akan memberikan sokongan yang paling berkekalan untuk pengukuhan ringgit dan juga ekonomi.