Jika di Malaysia, banyak kita dengar tentang orang yang menjual makanan murah atau restoran dan kedai makan yang menyediakan menu murah bagi membantu masyarakat berpendapatan rendah.
Kebanyakan restoran pula selalunya menerima bayaran kad kredit atau wang tunai, tetapi lain pula dengan sebuah restoran di Indonesia ini yang menerima sampah untuk menggantikan duit sebagai bayaran di kedainya!
Menurut mStar, sebuah restoran bernama Kantin Gas Methan yang terletak di Indonesia ini tidak menerima duit sebagai bayaran, tetapi sebaliknya menerima sampah plastik! Wah, betul ke ni?
Pemilik restoran memberitahu bahawa dia mengusahakan kedai makan itu untuk menyediakan alternatif lain kepada golongan miskin yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan. Baiknya!
Restoran yang dioperasikan oleh pasangan suami isteri, Sarimin dan Suyatmi itu terletak di lokasi yang agak pelik atau mungkin tidak pernah difikirkan oleh sesiapa sekalipun. Tiada siapa dapat bayangkan sebuah restoran tiba-tiba wujud di tapak pelupusan sampah!
Setelah menghabiskan masa 40 tahun sebelum membuka kedai makan tersebut, Sarimin dan Suyanti memilih lokasi restoran untuk berada di tengah-tengah tapak pelupusan sampah Jatibarang di Semarang, Indonesia.
Tapak pelupusan dipenuhi sampah sarap itu sentiasa dikunjungi oleh penduduk tempatan yang miskin bagi mencari plastik dan kaca yang boleh dijual. Oleh itu, restoran Sarimin dan Suyanti yang mengetengahkan konsep tukaran plastik dengan makanan membuatkan pengunjung lebih tertarik untuk ke kedai mereka.
Selain dapat menyediakan makanan dengan lebih mudah kepada penduduk di situ, konsep ini juga merupakan pendekatan terbaik untuk mengurangkan bahan terbuang di tapak pelupusan sampah selain membantu proses kitar semula.
“Ia bukan hanya memberi manfaat kepada mereka yang mencari barang-barang terbuang, tetapi untuk kebaikan semua,” kata Samirin yang nekad mahu mengurangkan timbunan sampah disitu dengan mengitar semula 1 tan sampah plastik sehari.
Menjadikan hidangan nasi, lauk dan sayur sebagai menu asas yang boleh dibeli bermula harga RM1.67 hingga RM3.34, restoran kecil mereka boleh menampung 30 orang pada satu-satu masa.
Setiap berat plastik yang dibawa oleh pelanggan akan dikira dan ditolak dengan kos makanan, manakala lebihan nilai akan dibayar balik kepada pelanggan yang berkunjung.
Sejak membuka restoran tersebut, pasangan ini memberitahu telah menerima pendapatan lebih sekali ganda berbanding apa yang diperolehi dengan mengutip bahan terbuang.
Usaha murni pasangan ini mencari rezeki halal dengan menyediakan cara yang lebih mudah untuk orang miskin menjamu selera dan menggalakkan budaya kitar semula wajar dicontohi semua. Semoga pasangan ini dimurahkan rezeki.
Baca: Lelaki Berhati Mulia Sediakan Perpustakaan Dengan Bayaran 10 Sen Pada Golongan Miskin