Selepas remaja berusia 14 tahun ini hilang pada tahun 1998, pihak berkuasa percaya yang dia telah menjadi salah seorang mangsa pembunuh bersiri. Tapi lima tahun kemudian, ramai terkejut bila gadis ini tiba-tiba muncul di mahkamah untuk perbicaraan pembunuhannya.
Ha, apa agaknya yang berlaku sampai remaja ni boleh muncul balik lepas pihak berkuasa dan keluarga yakin dia dah mati? Kalau korang nak tahu, kena baca!
Natasha Ryan, remaja bermasalah
Natasha Ann Ryan dilahirkan pada tahun 1984 dan dibesarkan di bandar kecil yang terletak di Rockhampton, Queensland, Australia.
Ketika Natasha kecil, bapanya telah memanggilnya “Grasshopper” kerana dia terus boleh berjalan sebelum merangkak. Selepas ibu bapanya bercerai, Natasha telah tinggal bersama ibunya dan bapanya pula telah berkahwin lain dan pindah ke bandar lain sejauh tiga jam darinya.
Sebagai remaja bermasalah, Natasha mula menjinakkan diri dengan dadah serta cuba untuk membunuh diri beberapa kali. Selain itu, dia juga sering melarikan diri dari rumah dan di usianya 14 tahun, dia telah bercinta dengan seorang lelaki berusia 21 tahun, Scott Black.
Dalam salah satu kejadian pada Julai 1998, Natasha telah melarikan diri ketika sedang membawa anjingnya berjalan-jalan sebelum pihak polis menemuinya seminggu kemudian di sebuah pesta muzik di Rockhampton dan mendapat tahu bahawa gadis ini telah tinggal di hotel bersama teman lelakinya.
Pada mulanya, pihak polis telah mendakwa Scott atas kesalahan menculik namun dakwaan tersebut digugurkan dan Scott telah didenda kerana mengganggu siasatan polis.
Kehilangan Natasha Ryan
Pada pagi 31 Ogos 1998, ibu Natasha telah menghantar remaja ini ke sekolah dan itu kali terakhir dia melihat anak perempuannya itu.
Kerana mengetahui Natasha mempunyai rekod melarikan diri dari rumah, pihak polis percaya lambat-laun mereka akan dapat menemui gadis ini.. Namun selepas beberapa bulan berlalu, harapan untuk menemui gadis ini hidup-hidup menjadi tipis selepas tiga orang wanita berusia dari 19 ke 39 tahun termasuk seorang kanak-kanak berusia 9 tahun turut hilang di kawasan yang sama.
Tak lama kemudian, kesemua wanita dan kanak-kanak yang hilang ini telah disahkan menjadi mangsa pembunuh bersiri, Leonard Fraser. Lelaki ini pernah dipenjarakan sebelum ini atas kesalahan merogol dan ketika dibebaskan pada tahun 1997, dia telah merogol lebih ramai wanita lagi.
Pada 22 April 1999, Leonard telah merogol dan membunuh Keyra Steinhart yang baru berusia 9 tahun selepas mengintip kanak-kanak ini yang sedang berjalan ke rumah dari sekolah. Ini menyebabkan lelaki ini telah dipenjara sekali lagi. Walaupun pihak polis percaya kesemua mangsa yang hilang ada kaitan dengan Leonard, lelaki ini pada awalnya tak mengaku dia telah membunuh Natasha Ryan.
Pihak penyiasat kemudiannya telah meminta bantuan dari seorang banduan untuk mendapatkan pengakuan dari Leonard dan akhirnya dia mengaku telah membunuh kesemua lima mangsa termasuk Natasha.
Leonard mengatakan yang dia telah berjumpa dengan remaja tersebut di panggung wayang dan menumpangkannya balik sebelum menyerangnya di dalam kereta dan menyembunyikan mayatnya di sebuah kolam.
Selepas pengakuan tersebut, keluarga Natasha yang percaya bahawa anak gadis mereka telah meninggal dunia mengadakan servis mengingati Natasha pada hari lahir ke-17 gadis ini pada tahun 2001. Walaupun Leonard berjaya tunjukkan kepada pihak polis di mana tempat dia sorokkan mayat mangsa-mangsanya, mayat Natasha tak pernah ditemui.
Kehidupan tersembunyi Natasha Ryan
Ketika keluarganya sibuk mencarinya, Natasha Ryan masih hidup dan sihat. Dia telah bersembunyi bersama teman lelakinya Scott Black di beberapa rumah berlainan dan rumah terakhir hanyalah terletak beberapa minit dari rumah ibunya di Rockhamptom Utara.
Scott yang bekerja di kilang susu tidak pernah dilihat bersifat mencurigakan. Malah, rakan-rakan sekerjanya memang tak tahu menahu dia sedang menyembunyikan Natasha. Dia kelihatan tinggal bersendirian dan baju yang dijemur di luar rumah pun hanya bajunya sahaja.
Kebanyakan masa, Natasha bebas bergerak di dalam rumah teman lelakinya itu dengan langsir tertutup. Dia kelihatan tak kisah tinggal di rumah gelap sepanjang usia remajanya. Natasha menghabiskan masanya dengan memasak, membaca, menjahit dan melayari internet. Dia hanya keluar rumah beberapa kali untuk berpindah atau pergi ke pantai pada waktu malam.
Bukan itu sahaja, setiap kali rumah teman lelakinya ini dikunjungi tetamu, Natasha akan bersembunyi di dalam almari sehingga tetamu tersebut pulang. Alahai gigih betul…
Mungkin kerana rasa bersalah melihat nasib lelaki yang dituduh membunuhnya itu, pada tahun 2003, tiga minggu sebelum perbicaraan Leonard, Natasha telah menghubungi talian bantuan servis kaunseling kanak-kanak.
Natasha yang menggunakan nama samaran “Sally” telah memberitahu kaunselor tersebut bahawa dia telah melarikan diri dan kini sedang tinggal bersama teman lelakinya dan seorang lelaki hampir dibicarakan atas kesalahan membunuhnya.
Kaunselor tersebut kemudiannya telah memberikan mesej tersebut kepada pihak polis namun mereka tak dapat menjejak panggilan tersebut.
Tak lama kemudian, pihak polis Rockhampton telah menerima surat dengan nombor telefon mendakwa Natasha Ryan masih hidup dan sihat.
Pada 10 April 2003, pihak polis telah menyerbu sebuah rumah di Mills Avenue, Rockhampton Utara dan menemui seorang gadis pucat sedang bersembunyi di dalam alamari bilik tidur. Tak lain tak bukan gadis tersebut adalah Natasha Ryan.
Kemunculan Natasha Ryan
Pada hari ke-12 perbicaraan Leonard Fraser, pihak pendakwa raya mendapat panggilan telefon dari polis mengatakan Natasha Ryan masih hidup.
Pihak pendakwa raya bergegas ke mahkamah untuk mencari bapa Natasha, Robert Ryan dan memberikan berita tentang penemuan anaknya itu. Apabila Robert mendengar berita ini, dia menyangkakan pihak polis telah menemui mayat anaknya dan dia hampir pengsan bila mendapat tahu bahawa anak perempuannya itu masih hidup.
Robert telah menelefon balai polis untuk mengesahkan yang gadis mereka temui itu betul anaknya, dan bila dia bercakap dengan perempuan yang menjawab panggilan tersebut, dia telah bertanya apa nama gelaran yang diberikan untuk memastikan orang tersebut tidak menyamar.
“Dad, it’s me, Grasshopper, and I love you and I’m sorry.
Manakala ibu Natasha memberitahu media bahawa dia sangat marah dengan anaknya kerana membiarkan dia percaya bahawa anaknya telah mati sedangkan dia hanya tinggal empat kilometer darinya.
Saya bencikan dia, saya rasa saya boleh goncang dia sekuat hati. Tapi bila saya lihat dia, saya lupa semua itu.”
Natasha kemudiannya hadir ke mahkamah untuk perbicaraan pembunuhannya dan membuat pengakuan bahawa dia tidak dibunuh oleh Leonard.
Mahkamah kemudiannya memutuskan bahawa Leonard tidak bersalah atas kesalahan membunuh Natasha namun bersalah atas pembunuhan lain dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Kesan kemunculan semula Natasha Ryan
Walaupun ramai yang gembira melihat Natasha masih hidup, ada juga yang marah dengan kemunculan tiba-tiba gadis ini. Mereka tertanya-tanya macam mana gadis ini boleh biarkan orang-orang kesayangannya merana kerana percaya dia telah dibunuh.
Pada tahun 2005, teman lelaki Natasha telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun kerana membuat sumpah bohong mengatakan dia tak tahu di mana keberadaan Natasha.
Dan pada 2006, Natasha telah didapati bersalah kerana mencipta siasatan polis palsu dan didenda US$4,000 serta diarahkan untuk membayar kos siasatan sebanyak US$16,000.
Namun begitu, Natasha pada ketika ini telah pun membuat keuntungan atas populariti yang diraihnya dengan menjual ceritanya di rancangan 60 Minutes Australia sebanyak AU$120,000.
Natasha dan Scott kemudiannya melangsungkan perkahwinan pada tahun 2008 dan menjual berita perkahwinannya itu sebanyak US$200,000. Mereka dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata.
Dilaporkan, ketika pihak polis bertanya kenapa dia kekal bersembunyi selama bertahun-tahun selepas orang percaya dia telah dibunuh, Natasha mengatakan penipuannya dah menjadi terlalu besar.
Sumber: ati
Baca: “Bukan semua dapat bad ending” – Ini 5 Kisah Kanak-Kanak Hilang Yang Berakhir Dengan Gembira