Bekas Presiden Colombia, Alvaro Uribe, dijatuhi hukuman 12 tahun tahanan rumah selepas disabitkan bersalah atas kesalahan mempengaruhi saksi dan rasuah.
Beliau turut dikenakan denda kira-kira RM2.7 juta dan dilarang memegang jawatan awam selama lebih lapan tahun. Mahkamah turut mengarahkan Uribe, 73, untuk melapor diri di Rionegro sebelum menjalani hukuman di kediamannya.
Memetik laporan Astro Awani, kes ini berpunca daripada tindakan Uribe memfailkan saman terhadap Senator Ivan Cepeda lebih sedekad lalu.
Namun, Mahkamah Agung menolak saman tersebut dan sebaliknya membuka siasatan ke atas Uribe berhubung usaha memanipulasi saksi. Pendakwa mendakwa peguam Uribe cuba menyuap bekas anggota paramilitari untuk menarik balik kenyataan mereka.
Artikel berkaitan: “Itu minuman apa?” – Angkat Gelas Untuk Presiden Perancis, Netizen Persoal Minuman Yang Diteguk Prabowo
Artikel berkaitan: Pasport Terbang, SPRM Tahan 4 Penguatkuasa Yang Terima Rasuah
Semasa pemerintahan Uribe dari 2002 hingga 2010, beliau terkenal dengan pendekatan keras terhadap pemberontak FARC tetapi turut dikritik atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia.
Skandal “false positives” turut mencemari pentadbirannya apabila tentera dituduh membunuh orang awam dan menyamar mereka sebagai musuh.
Keputusan mahkamah ini turut mencetuskan ketegangan politik antarabangsa, terutama di Amerika Syarikat.
Senator Marco Rubio menyelar keputusan itu, mendakwa sistem kehakiman Colombia telah ‘dipersenjatakan’, sementara ahli politik Demokrat menuduh AS cuba mencampuri sistem undang-undang negara lain demi kepentingan politik.
Walaupun dijatuhi hukuman, Uribe tetap mempertahankan dirinya sebagai tidak bersalah. Peguamnya merancang untuk memfailkan rayuan dan kes ini dijangka terus mencuri perhatian menjelang Pilihan Raya Presiden Colombia pada 2026.