Selalunya tuan rumah yang mengadakan jamuan atau rumah terbuka akan membuat pengiraan berapa ramai tetamu yang hadir. Ini bagi mengelakkan pembaziran yang berlaku atau kekurangan makanan.
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook meluahkan rasa kesal terhadap tetamu yang membazir pada majlis rumah terbukanya.
Menerusi perkongsian Muhd Amirul Zikri dalam Group B40 Buat Perangai Apa Harini, dia menceritakan keluarganya menyediakan 600 cucuk sate yang dibakar sendiri sebagai hidangan sampingan.
Ujarnya, tidak sampai tengah hari, sate yang dihidangkan tidak cukup untuk semua tetamu sedangkan jemputan hanya dalam 200 orang sahaja.
Ketika melakukan pembersihan meja tetamu, dia terkejut banyak pembaziran yang berlaku sepanjang majlis berlangsung.
“Semasa membersihkan meja hendak kutip pinggan tetamu, punyalah banyak sate orang ambil banyak lepas tu tidak habis makan.
“Terlalu banyak ya, sehinggakan kami rasa mahu ambil dan panaskan balik cuma tidak sampai hati kerana sisa orang kan. Jadi, terpaksa buang,” katanya.
Dia meluahkan rasa sedih melihat banyak sate yang terpaksa dibuang, kira-kira lebih 100 cucuk sate.
Tambahnya, perkara itu bukanlah membuatkan dia berasa marah kerana tetamu mahu makan banyak tetapi perlulah ambil secara berpada.
“Ambil tu berpadalah. Ambil sikit dulu, kalau sedap tambahlah lagi. Kesian orang-orang yang datang kemudian tak dapat nak merasa. Kami tuan rumah pun jadi serba salah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia meminta semua orang sentiasa berpada-pada mengambil makanan apabila datang ke majlis orang.
Perkongsian hantaran itu turut membuatkan orang ramai berasa kesal dengan sifat tamak sebahagian tetamu yang hadir di majlis itu.
Ada yang menyarankan supaya tuan rumah mengehadkan kuantiti hidangan dalam satu masa bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku.
Kesian tuan rumah dan keluar kos banyak, tetapi banyak makanan terbazir…
Baca: “Wagyu ke apa?”- Lelaki Terkejut Harga 30 Cucuk Sate Di Cheras RM 107