Semalam baru sahaja Perdana Menteri kita iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan berkenaan pembubaran parlimen yang telah menjadi tanda tanya rakyat pada minggu lepas.
Dengan pengumuman yang boleh dikatakan agak mengejutkan, maka dengan ini telah rasminya bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan dalam masa yang terdekat dan kita bertanggungjawab untuk turun mengundi dan memilih pemimpin kita yang tersendiri.
Tapi korang pernah terfikir tak semasa pembubaran parlimen berkuatkuasa, siapa ye yang bertanggungjawab dalam mengemudikan negara?
Mari min kongsikan apa yang berlaku selepas berlakunya pembubaran Parlimen.
Parlimen bubar, kerajaan sementara ambil alih
Istana Negara akan mengeluarkan kenyataan berhubung pembubaran parlimen sesudah Perdana Menteri menghadap Yang Dipertuan Agong dan mengemukakan cadangan untuk membubarkan parlimen.
Selepas berlakunya pengumuman tersebut, kerajaan sementara akan mengambil alih iaitu kerajaan campuran di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri yang mempunyai kuasa sementara dan terhad untuk menjalankan tugas-tugas secara interim.
Sektor perkhidmatan awam akan berjalan seperti biasa manakala Ketua Setiausaha Negara akan menjalankan tugas melicinkan pentadbiran kerajaan. Menurut Awani, kesemua dasar dan segala akta yang mahu dibentangkan di Parlimen akan ditangguhkan sementara.
Turut apa yang berlaku pada hari Jumaat lalu iaitu Bajet 2023, perkara tersebut turut ditangguhkan untuk berkuatkuasa dan perlu dibentangkan semula bajet sekiranya terbentuknya kerajaan baru. Segala proses juga akan dilakukan daripada awal.
SPR umum tarikh penting pilihan raya umum
Susulan daripada pengumuman mengenai pembubaran parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat dan sidang media dalam tempoh 60 hari untuk memberitahu tarikh-tarikh yang penting seperti penamaan calon, hari mengundi awal dan mengundi biasa.
Suruhanjaya tersebut juga akan mengeluarkan arahan kepada pegawai pilihan raya di seluruh negara untuk merancang kawasan yang bakal dan diadakan. Notis pilihan raya juga akan diletakkan di semua kawasan untuk tatapan orang ramai.
Parti politik beraksi, cari calon untuk dinamakan
Dalam masa 60 hari ini juga, parti-parti politik akan memulakan agenda mereka dengan mempersiapkan calon-calon untuk bertanding dan serahan borang calon seharusnya dilakukan pada tarikh penamaan calon antara jam 9 hingga 10 pagi.
Seperti yang dinyatakan, semua calon perlu membayar sekali deposit RM10,000 untuk kerusi Parlimen manakala RM5,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pencalonan juga boleh terbatal sekiranya calon yang dinamakan itu didapati tidak lengkap pengisian borang, muflis, tidak waras atau bukan warganegara Malaysia.
Kempen pilihan raya bermula, pacak bendera parti seluruh negara
Kalau korang perasan semasa berlakunya musim pilihan raya, banyak bendera-bendera parti politik diletakkan di sekitar jalan di Malaysia dengan bertujuan untuk menarik perhatian pengundi. Itulah juga tanda bahawa kempen pilihan raya sedang berlangsung.
SPR juga akan mengumumkan tempoh berkempen yang kebiasaannya selama 12 hingga 14 hari dan ia bermula sebaik saja proses penamaan calon selesai dan akan berakhir jam 12 tengah malam sebelum hari pengundian.
Setiap calon yang terlibat difahamkan hanya boleh mengeluarkan perbelanjaan maksimum RM200,000 untuk berkempen, manakala calon DUN pula hanya dibenarkan berbelanja maksimum RM100,000.
SPR juga akan memantau tingkah laku calon ketika berkempen dengan memastikan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Turut bertanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memantau aktiviti berkempen sekiranya terdapat unsur rasuah dan Polis Diraja Malaysia turut menjalankan tugas memastikan ketenteraman awam terjamin.
Undi awal dan undi pos diberi keutamaan dan keistimewaan
Hari pengundian awal akan diberikan kepada badan berkuasa seperti keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membuang undi kerana mereka diantara akan bertugas semasa hari kejadian Pilihan Raya Umum (PRU).
Untuk undian melalui pos pula, mereka akan menerima kertas undian lebih awal sebaik cetak dan pengundi pos perlu memulangkan kertas undian yang sudah ditanda kepada pegawai Pilihan Raya pada jam 5 petang ketika hari pengundian.
Rakyat Malaysia yang menetap di luar negara juga turut mendapat keistimewaan untuk mengundi secara pos namun berdasarkan atas kelulusan pihak untuk membenarkan atau tidak.
Hari yang dinanti, hari mengundi!
Hari mengundi akan berlaku kebiasaannya bermula pagi sehinggalah ke waktu petang. Tempoh masa pengundian PRU-15 akan dipanjangkan selama satu jam bagi Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.
Ini merupakan antara beberapa penambahbaikan yang dilakukan oleh SPR bagi memastikan proses perjalanan pilihan raya lebih lancar, adil dan telus.
Dalam pada itu, berikutan pelaksanaan pengundi berumur 18 tahun dibolehkan untuk mengundi, SPR juga telah mengambil inisiatif untuk menambah jumlah pusat mengundi bagi mengelakkan kesesakan pada hari kejadian.
Pusat mengundi ditutup, pegawai buat kiraan undi
Sesudah pusat mengundi ditutup, pegawai pilihan raya akan memulakan kiraan undian dan memastikan jumlah kertas undian yang diterima di pusat masing-masing di awal pengundian adalah sama dengan kertas undian yang diberikan kepada pengundi serta yang tak digunakan.
Kertas undian yang tidak jelas akan diketepikan terlebih dahulu dan kertas undian yang tidak mengikut piawaian akan dikira sebagai undi rosak.
Kertas undian akan dikira semasa hari kejadian juga dan akan diumumkan keputusan di pusat undian masing-masing.
Calon yang mendapat undian majoriti akan dikira menang dan parti politik yang mendapat lebih 2/3 kerusi akan menawan Putrajaya dan menjadi kerajaan yang baharu.
Begitulah proses yang akan berlaku sepanjang 60 hari. Apa-apapun, jom kita laksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan turun mengundi!
Baca: [TERKINI] PM Umum Parlimen Bubar Berkuatkuasa Hari Ini