in

Ramai Tak Faham Sistem UPU, Kenali Beza Aliran Asasi, Matriks dan STPM

Untitled design 23

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sejak keputusan UPU diumumkan baru-baru ni, media sosial digegarkan dengan keluh kesah netizen. Ada yang gembira kerana berjaya mendapat pilihan pertama, tapi tak kurang juga yang kecewa kerana langsung tidak ditawarkan tempat sehingga terpaksa membuat rayuan.

Malah, ada yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana ditawarkan kursus yang bukan pilihan utama mereka.


Keadaan ini sebenarnya menunjukkan masih ramai yang belum benar-benar faham bagaimana sistem UPU Online berfungsi. Bila kurang faham, mulalah timbul kekecohan dengan menyalahkan ‘kuota’ atau menganggap diri tidak bernasib baik. Ada juga yang terus menolak tawaran hanya kerana disebabkan kursus itu tidak sejalan dengan minat.

Sebab itu penting untuk kenal pasti dulu laluan yang bakal diambil selepas SPM, sama ada korang akan menempuhi program Asasi, Matrikulasi atau STPM. Sebab setiap aliran ini ada cara untuk kira meritnya dan mempunyai syarat-syarat yang berbeza. Bila dah faham, barulah senang nak susun pilihan UPU dengan bijak.

Asasi

asasi

Bila habis SPM, antara pilihan paling popular untuk pelajar ialah program asasi. Asasi ini ibarat tahun asas sebagai persediaan sebelum melangkah ke peringkat ijazah sarjana muda. Jadi dari awal lagi, pelajar asasi dibentuk mengikut keperluan universiti supaya lebih bersedia untuk pengajian di peringkat seterusnya.

Program asasi tidaklah menawarkan satu laluan yang umum saja. Terdapat juga aliran lain yang bersifat luas seperti Asasi STEM, atau program yang lebih bersifat khusus seperti Asasi Sains Hayat, Asasi TESL, Asasi Undang-Undang, Asasi Pergigian dan Asasi Farmasi.

Kalau seorang pelajar itu sudah tahu hala tuju kerjaya atau bidang yang diminati, asasi boleh menjadi tiket awal untuk mereka terus menceburi bidang tersebut.

Menariknya, program asasi memang berkait rapat dengan pemilihan ijazah sarjana muda selepas tamat tempoh pengajian. Kebanyakan pelajar akan menyambung pengajian di universiti yang sama, dan proses permohonan biasanya lebih mudah kerana adanya portal dalaman khas. Cuma perlu ingat, program asasi ada dua jenis iaitu tertutup dan terbuka.

  • Asasi tertutup biasanya hanya untuk universiti tersebut. Maksudnya, boleh mohon ijazah melalui portal dalaman tanpa melalui sistem UPU.
  • Asasi terbuka pula guna laluan UPU, di mana korang akan bersaing dengan pelajar matrikulasi, STPM dan diploma untuk merebut tempat.

Artikel Berkaitan: UMANY Mohon Maaf, Jelaskan Isu ‘Mansuh’ Matrikulasi Cuma Salah Guna Perkataan – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: “Henti main isu kaum, fokus selamatkan UM daripada penswastaan” — Liga Mahasiswa UM – Lobak Merah

Matrikulasi

matriks

Program matrikulasi ialah program yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan biasanya berlangsung di kolej matrikulasi khusus.

Maksudnya, semua pelajar di sana adalah pelajar matrikulasi dan tidak akan bercampur dengan pelajar program lain. Suasananya lebih kecil dan berfokus, membuatkan mudah untuk korang bina komuniti dan rakan sebaya.

Penawaran kursus dalam matrikulasi adalah lebih terhad berbanding asasi. Hanya ada beberapa pilihan sahaja iaitu Sains Hayat, Sains Komputer, Kejuruteraan atau Perakaunan.

Walaupun pilihannya terhad, ia tidak mengehadkan pilihan untuk menyambung ijazah nanti. Malah, matrikulasi sebenarnya membuka laluan yang lebih fleksibel untuk sambung kursus ijazah yang berlainan.

Contohnya, kalau korang ambil aliran sains di matrikulasi, korang masih boleh mohon banyak jenis kursus dalam bidang sains atau kesihatan, bergantung pada syarat universiti. Bezanya dengan asasi ialah asasi biasanya lebih spesifik kepada bidang tertentu macam Asasi Undang-Undang. Manakala kursus matrikulasi tidak terlalu terikat kerana cuma memberi asas yang lebih luas.

Tapi lepas tamat sahaja program, bila nak sambung ijazah sarjana muda, semua pelajar matrikulasi akan masuk semula ke dalam sistem UPU untuk bersaing dengan calon lain terutamanya dengan lepasan STPM, asasi terbuka dan diploma.

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 

form 6

STPM merupakan antara aliran program yang berbeza sedikit dengan asasi dan matrikulasi kerana pelajar Tingkatan 6 ini masih belajar di sekolah menengah yang terpilih di bawah KPM. Suasananya memang lebih mirip suasana persekolahan biasa, lengkap dengan aktiviti kokurikulum yang wajib disertai kerana ia sebahagian daripada sistem.

Dari segi jurusan, STPM dibahagikan kepada Aliran Sains Sosial, Aliran Sains dan Aliran Agama. Secara khususnya, pelajar akan ambil empat subjek termasuk subjek wajib iaitu Pengajian Am. Baki tiga subjek lain bergantung kepada aliran yang ditawarkan oleh pihak sekolah, di samping pilihan pelajar sendiri.

Antara subjek yang boleh diambil termasuklah Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Kesusasteraan Melayu, Sejarah, Geografi, Ekonomi, Pengajian Perniagaan, Perakaunan, Matematik (M), Matematik (T), Information and Communication Technology (ICT), Fizik, Kimia, Biologi, Sains Sukan dan Seni Visual.

Fleksibiliti ini membolehkan pelajar menentukan kombinasi subjek mengikut minat dan hala tuju kerjaya. Demi memastikan perjalanan ke ijazah lebih lancar, subjek yang dipilih perlulah seiring dengan bidang yang ingin dimohon.

Sebagai contoh, bagi yang bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang, subjek Sejarah menjadi syarat penting. Manakala untuk bidang perubatan, pelajar wajib memilih subjek-subjek sains berkaitan.

Cumanya, penilaian STPM akan dibuat secara berperingkat. Setiap penggal ada peperiksaan akhir yang ditambah dengan kerja kursus dan markah akhir akan digabungkan menerusi ketiga-tiga penggal, membuatkan pelajar wajib memperolehi keputusan cemerlang secara konsisten.

Walaupun STPM sering dianggap antara peperiksaan paling susah di dunia, sijilnya sangatlah bernilai berbanding aliran program lain. Universiti awam di Malaysia juga biasanya menyediakan kuota besar untuk lepasan STPM di mana PNGK serendah 2.00 pun, mereka masih berpeluang untuk diterima sambung ijazah sarjana muda kerana tahap pengiktirafannya yang tinggi.

Peranan Unit Pusat Universiti (UPU)

upu online

Sistem UPU Online ni sebenarnya bertujuan untuk menyelaras proses kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia. Ini termasuk 20 Universiti Awam (UA), 3 Politeknik Premier, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kolej Matrikulasi KPM, Politeknik Konvensional/METRO, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Bila dah faham ketiga-tiga laluan ni, barulah jelas betapa pentingnya susun struktur pemilihan jurusan melalui sistem UPU. Kebiasaannya semua aliran perlu melalui sistem UPU kerana itulah laluan standard untuk sambung peringkat ijazah.

Contohnya, kalau asasi secara tertutup, perjalanan ke peringkat ijazah adalah lebih mudah kerana bergantung pada portal universiti tersebut. Tapi bagi pelajar matrikulasi, STPM, mahupun diploma sekalipun, wajib bersaing dalam sistem UPU bersama ribuan calon lain.

Mengikut garis panduan UPU Online, calon boleh membuat sehingga 12 pilihan kursus dan universiti dan sekurang-kurangnya 6 pilihan wajib diisi, manakala selebihnya bergantung pada strategi calon.

Untuk program yang ada temuduga atau ujian, pilihan hanya boleh diletakkan di Pilihan 1 hingga 4 sahaja. Bagi program pendidikan, ia lebih ketat kerana hanya boleh dipilih pada Pilihan 1 dan 2 sahaja.

Jadi, dekat sinilah ramai yang selalu tersilap langkah. Ada yang letak kursus terlalu jauh daripada aliran asal, akhirnya susah nak lepas saringan. Sebenarnya, sistem UPU memberi ruang yang sangat fleksibel. Misalnya, kalau ambil aliran perakaunan, pilihan itu boleh diperluaskan dari Perakaunan kepada Kewangan, Ekonomi hingga ke Pengurusan. Semua itu masih dalam laluan yang sama.

Tips susun pilihan program pengajian 

Kita ambil contoh jurusan yang paling popular iaitu Doktor Perubatan. Ramai orang kata kalau nak masuk medic kena dapat 4 Flat. Memang betul, tapi itu bukanlah tiket automatik untuk diterima kerana ribuan calon lain pun mohon kursus yang sama, sedangkan setiap universiti biasanya hanya tawarkan sekitar 50 hingga 100 tempat sahaja.

Pertama sekali, kalau katakan korang memang nak mohon kursus perubatan, utamakan universiti dan kursus yang korang inginkan, tapi jangan berhenti di situ sahaja. Susun juga kursus yang masih berkaitan seperti Farmasi, Bioperubatan atau Sains Kesihatan supaya hala tuju pengajian korang selari dengan bidang asal.

Sistem UPU juga akan menapis permohonan bermula daripada pilihan pertama. Kalau syarat minima lulus tapi markah merit tidak cukup kuat berbanding calon lain, permohonan itu akan terus disaring ke pilihan kedua, ketiga dan seterusnya hingga pilihan terakhir.

Sebab itu susunan aliran program dan jurusan sangat penting kerana ia secara langsung mempengaruhi peluang korang untuk diterima masuk. Bagi jurusan yang ada temuduga pula, seperti Pendidikan atau kursus tertentu lain, pastikan ia diletakkan pada ruang pilihan yang ditetapkan. Hal ini kerana UPU hanya benarkan jurusan bertemu duga diisi pada Pilihan 1 hingga 4, manakala program pendidikan pula terhad pada Pilihan 1 dan 2 sahaja.

Selain itu, elakkan terlalu bergantung pada universiti popular semata-mata. Ramai calon cenderung mengisi pilihan di unversiti yang ‘gah’ tanpa mempertimbangkan universiti lain. Hakikatnya, kursus perubatan tetap ada di universiti lain seperti UNISZA atau UNIMAS yang juga menawarkan kualiti pengajian setaraf.

Jadi bila menyusun pilihan program pengajian ijazah, rancanglah dengan bijak agar peluang untuk diterima lebih terbuka luas. Pastikan pilihan korang tu dipilih betul-betul selari dengan minat, kekuatan dan latar belakang akademik sendiri.

Dengan strategi yang baik, tidaklah korang akan tesasar jauh daripada rancangan asal korang, malah lebih berpeluang menerima tawaran yang seiring dengan hala tuju pendidikan korang.

Sumber: afterschool.my , uniassist

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.