Ruang balkoni antara elemen penting bangunan bertingkat terutama kediaman. Ia bukan sahaja menjadi ruang tambahan, tetapi berfungsi sebagai sistem pengaliran udara yang efektif, sekali gus mengurangkan haba dalam rumah.
Jadinya, tidak hairanlah ada segelintir penghuni kediaman menjadikan balkoni sekadar tempat untuk menyidai pakaian.
Namun, perbuatan tersebut sebenarnya telah melanggar Akta Pengurusan Strata 2013 seperti yang dikongsikan oleh seorang perunding hartanah di laman Twitter.
Under Strata Act 2013 you cannot sidai baju dekat balcony. Because this is what it looks like. If every balcony ada baju, tak cantik memandang. Kurang value di situ. Use the designated yard area or a dryer. Sama-sama bagi condo facade kita lawa. Value tinggi. Nak jual untung 👍🏽 pic.twitter.com/rOlMBU4Toa
— MarieJualKondo 🇲🇾🌺 (@natashagideon) May 6, 2023
Nilai hartanah boleh jatuh
Menerusi ciapannya yang turut memuat naik gambar sebuah kondominium menyatakan bahawa tindakan sedemikian dikatakan bukan hanya mencacatkan pemandangan, malah boleh merendahkan nilai pasaran sesebuah kediaman.
“Bawah Akta Pengurusan Strata 2013, penduduk sebenarnya tak boleh sidai baju di balkoni. Sebab nanti akan jadi macam ni.
“Kalau setiap balkoni di apartment tu ada baju, ia akan jadi tak cantik untuk dipandang. Kurang value di situ. Gunakan kawasan halaman yang tersedia atau gunakan mesin pengering baju.
“Sama-sama bagi imej luaran kondominium kita nampak cantik. Baru nilai jadi tinggi. Nak jual pun untung,” katanya.
Tambahnya, akta itu diperkenalkan untuk mengatur penyelenggaraan dan pembangunan kediaman bertingkat. Selain itu, akta tersebut turut menghalang pemilik untuk mengubah suai rumah sesuka hati seperti harta sendiri.
Walau bagaimanapun, perkongsian perunding hartanah itu telah mengundang perbalahan orang ramai kerana merasakan peraturan berkenaan lebih menguntungkan pemaju daripada penghuni kediaman.
Ada yang berpendapat bahawa kebanyakan reka bentuk rumah bertingkat tidak menyediakan tempat yang sesuai untuk menyidai pakaian, menjadikan ramai memilih untuk menjemurnya di ruang balkoni.
Malah, netizen mengatakan sepatutnya pembinaan kediaman sebegini perlu mengambil kira faktor cuaca dan pengudaraan rumah.
Pun begitu, ada juga yang menyokong kenyataan perunding hartanah terbabit atas faktor keuntungan untuk menjual rumah.
Menerusi semakan buku garis panduan penyidaian kain oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, penghuni dilarang menyidai apa-apa jenis sidaian di tingkap, balkoni atau koridor yang menghadap kepada pandangan awam.
Tetapi, penghuni dibenarkan menggunakan ruangan balkoni atau koridor yang terlindung daripada pandangan awam.
Baca: Penghuni Rumah Flat ‘Renovate’ Tambah Pagar Batu, Siap Bagi Amaran Dekat Penduduk Lain