in

RAKYATpreneur & UNIpreneur 2025 Pacu Kejayaan Global dan Inklusif Usahawan Asnaf

ft rakyatpreneur

Bank Rakyat hari ini melancarkan siri program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2025, dengan peruntukan sebanyak RM3.82 juta, berfokus kepada adaptasi teknologi dan pendigitalan perniagaan.

Program ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan, malah telah terbukti melahirkan kisah kejayaan usahawan asnaf yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan membina perniagaan mampan.

Antara alumni yang membanggakan ialah Encik Mohammad Zamzum Duhari, alumni RAKYATpreneur, yang telah membawa produk tempatan ke peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam 8th International Food Expo “Our Brand” di UFA, Rusia, dengan kerjasama MATRADE. Kini, produk beliau telah menembusi pasaran United Kingdom dan Dubai.

Kejayaan turut diraih oleh Cik Aina Syazwani Mohd Najib, peserta Bank Rakyat UNIpreneur dari UIAM yang mengusahakan jenama Scraftrosie.

481170780 1050138077134987 589235992896321696 n

Beliau, yang menghasilkan gubahan tudung dalam bentuk bouquet menggunakan bunga kertas, telah terpilih sebagai kisah kejayaan program iTEKAD oleh Alliance for Financial Inclusion (AFI) bersama Bank Negara Malaysia dan kini berjaya membuka kedai fizikal sendiri.

Selain itu, Mohd Nazim Rozlee, peserta Bank Rakyat UNIpreneur dari Politeknik Kota Kinabalu, Sabah, seorang OKU pertuturan dan pendengaran, kini menjalankan perniagaan ‘Coffee Deaf’ di Politeknik Kota Kinabalu, menunjukkan semangat keusahawanan yang luar biasa.

Menurut YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, program ini telah membantu seramai 2,633 usahawan dan siswa asnaf sebelum ini dengan sumbangan keseluruhan mencecah RM13.04 juta sejak lebih empat tahun penganjurannya.

DSC07540

Beliau menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan berterusan program ini sebagai inisiatif inovatif yang dapat memberi peluang kepada usahawan khususnya daripada golongan berpendapatan rendah untuk memanfaatkan teknologi digital dalam perniagaan, sekali gus merealisasikan visi Malaysia sebagai negara maju yang inklusif dan progresif di bawah Kerajaan MADANI.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, menjelaskan bahawa kedua-dua program ini telah berkembang secara berfasa sejak diperkenalkan, bermula dengan suntikan dana permulaan dan modul asas keusahawanan sehingga kepada strategi pemasaran digital dan program pembangunan lain seperti RAKYAT Accelerator.

Bermula 1 Ogos 2025 hingga 31 Januari 2026 melibatkan seramai 800 usahawan dan siswa asnaf berpotensi yang diberikan suntikan dana, latihan dan bimbingan holistik meliputi pembangunan kapasiti dan daya tahan perniagaan seperti pengurusan kewangan dan simpan rekod, pemasaran dan jualan, serta adaptasi teknologi dan pendigitalan operasi perniagaan.

DSC07557

Berbeza dengan pelaksanaan pada tahun sebelum ini, fokus program diperluaskan kepada
pembangunan produk, inovasi pembungkusan dan penerapan teknologi kewangan (fintech).

Usahawan diberi akses kepada platform digital eBiz Tools Marketplace yang merangkumi pembukaan Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i) Bank Rakyat, penggunaan sistem i-BizRAKYAT, serta penyelesaian fintech percuma selama tiga hingga enam bulan di bawah pemantauan rakan strategik fintech.

Beliau berharap inisiatif ini akan membantu usahawan RAKYATpreneur dan UNIpreneur 2025 untuk lebih maju, bersaing dalam pasaran, dan meningkatkan nilai kebolehpasaran produk dan perkhidmatan mereka.