Kecoh semalam apabila tersebarnya berita mengatakan pelakon filem Tombiruo yang baru mendapat gelaran datuk, Farid Kamil telah ditahan polis kerana mengamuk dan menyerang anggota polis serta dua orang awam di Balai Polis Kota Damansara. Tidak cukup dengan itu, pelakon tersebut juga telah disahkan positif dadah jenis ganja ketika ditahan.
Berita yang menggemparkan ini rata-rata telah menimbulkan perbincangan dalam kalangan netizen serta kebimbangan rakan artis yang rapat dengan Farid Kamil dan isterinya, Diana Danielle.
Terkesan dengan berita yang menimpa Farid, kebanyakan rakan artis melalui media sosial telah menyuarakan pandangan masing-masing termasuklah kata-kata semangat buat aktor tersebut. Almaklumlah mereka semua dahulu pernah bekerjasama dan sesetengah daripadanya bagaikan tidak percaya Farid boleh terlibat dalam jenayah seperti itu.
Antara rakan artis yang terawal memberi komen dalam isu ini ialah Soffi Jikan yang menyifatkan sahabatnya itu dalam keadaan depresi dan berdepan dengan pelbagai masalah peribadi.
“Dia seorang yang baik dan saya adalah antara orang yang rapat dengan beliau dan boleh dianggap sebagai abangnya. Dia berdepan dengan pelbagai masalah dan sedang berada dalam depresi.
“Saya sedih bila ramai yang mengecam dia dengan pelbagai tohmahan sedangkan tidak tahu apa sebenarnnya terjadi, kita tidak tahu apa yang terjadi. Lebih elok tunggu dia keluar dan bagi keterangan,” katanya kepada mStar.
Di samping itu, pelakon Khir Rahman dan Sharnaaz Ahmad juga sempat mempertahan Farid dan Diana di Twitter peribadi mereka sebaik mendapat tahu berita itu. Sharnaaz malah turut menyatakan rasa kesal serta tidak puas hati apabila ada individu yang tergamak menyebarkan gambar Farid ketika ditahan di balai polis.
Bukan hanya Khir dan Sharnaaz saja yang menyuarakan sokongan mereka, Beto Kusyairy juga menujukan beberapa tweet buat Farid dan berharap pelakon tersebut bertabah dengan dugaan yang menimpanya.
Dalam pada itu, pelakon kontroversi Fathia Latiff juga turut serta ingin menyatakan pendapatnya berhubung isu Farid ini. Namun komen yang diberikannya menimbulkan pelbagai balasan daripada netizen yang membuat pelbagai spekulasi kononnya Farid mungkin telah diperangkap dan ada sesuatu yang ‘tidak kena’ dengan kes tersebut.
Dalam pada itu, adik ipar kepada Farid Kamil, Yana Samsudin memuat naik entri di Instagram yang mengatakan bahawa setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya. Betul tu!
“Sentiasalah jadi diri sendiri dalam apa juga keadaan. Insya-Allah. Allah tahu segala-galanya. Kita sebagai manusia juga susah hendak faham ujian sebenar daripada-Nya.
“Masa akan datang memberi makna bagi setiap kejadian,” tulis Yana.
Isteri Farid, Diana Danielle dilaporkan memohon semua pihak agar memberinya ruang untuk bernafas dalam menangani isu berkaitan suaminya. Aktres itu juga difahamkan telah menutup ruang komen untuk mengelakkan perbalahan sesama netizen.
Walau bagaimanapun, diharapkan keluarga Farid Kamil bertabah dengan dugaan yang menimpa. Semoga kebenaran yang sebenar terbukti jika Farid didapati tidak bersalah. Kuatkan semangat ya!