Jumlah kutipan sampah di bazar Ramadan yang dikendalikan oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) di beberapa daerah Selangor tahun ini mencatatkan pengurangan ketara kepada 40 tan sehari berbanding 70 tan sehari tahun lalu.
Memetik laporan Astro Awani, penurunan kira-kira 40 peratus ini dipercayai berpunca daripada peningkatan kesedaran masyarakat dan peniaga dalam menguruskan perbelanjaan serta perniagaan secara lebih berhemah sepanjang bulan Ramadan.
Tahun ini, KDEBWM telah diamanahkan untuk menguruskan sampah di bazar Ramadan di tujuh daerah di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), melibatkan 152 lokasi dengan hampir 9,832 tapak perniagaan. Berdasarkan semakan setakat 20 hari Ramadan, trend pengurangan jumlah sampah dapat dilihat di kebanyakan kawasan.
Sementara itu, KDEBWM turut bersedia memastikan pengurusan sampah semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri berjalan lancar. Dengan operasi sepanjang tahun tanpa henti di semua cawangan melibatkan 12 PBT, syarikat itu akan menjalankan kutipan seperti biasa.
Kutipan sampah di beberapa kawasan tertentu akan dilakukan lebih awal pada pagi Aidilfitri sebelum solat sunat Hari Raya bagi mengelakkan longgokan sampah yang boleh menjejaskan keselesaan penduduk.