Umum mengetahui, untuk mendapatkan tidur yang cukup, kita sebagai orang dewasa kena tidur selama enam hingga lapan jam supaya kita akan kekal aktif pada siang hari keesokan harinya.
Namun, pukul berapa yang anda selalunya akan lelapkan mata? Jangan selalu sangat tidur lambat sebab ada kajian yang mendapati bahawa jika anda mahu kurangkan risiko untuk mendapat penyakit berkaitan jantung, anda harus tidur seawal jam 10 hingga 11 malam.
Menurut CNN Indonesia, tidur pada jam sedemikian adalah yang paling optimal dan bagus untuk badan anda. Difahamkan, kajian itu telah dijalankan pada tahun 2006 hingga 2010 oleh Universiti Exeter terhadap lebih 80 ribu peserta.
Mereka mendapati peserta kajian yang tidur sebelum pukul 10 malam adalah 12 peratus lebih tinggi untuk mendapat penyakit itu.
Manakala tidur pada jam selepas tengah malam pula dikaitkan dengan 25 peratus lebih tinggi dari segi risiko untuk terkena sakit jantung dan peserta kajian yang tidur antara jam 10 hingga 11 malam pula yang paling sedikit mendapat penyakit seperti itu.
Menurut salah seorang pengkaji yang terlibat dalam kajian itu iaitu David Plans, badan manusia ini ada sebuah proses yang dikenali sebagai circadian rhythm di mana ia merupakan perubahan dari segi fizikal, mental dan sikap yang akan berubah mengikut kitaran 24 jam.
Walaupun pengkaji tak baoleh nak simpulkan penyebab utamanya daripada kajian itu, dapatan kajian menunjukkan mungkin tidur pada waktu yang terlalu lewat atau terlalu awal akan mengganggu jam tubuh (body clock) dan proses tersebut, sekali gus ia akan memberikan kesan negatif kepada jantung anda.
Dalam masa yang sama, ahli fisioterapi dan pakar tidur yang dikenali sebagai Sammy Margo, disebabkan badan setiap orang juga lain-lain, tak semestinya semua orang perlu tidur pada waktu tersebut, lapor HuffPost UK.
Namun, menurutnya juga, kajian itu telah mencadangkan waktu ideal untuk tidur mungkin adalah pada jam 10 malam, jadi sesiapa yang mahu mengikutinya boleh mula tidur pada jam terbabit.
Apa-apa pun, paling penting, pastikan anda dapatkan tidur cukup yang sesuai dengan keperluan badan anda dan ingat, jangan tidur berlebihan sebab tidur yang berlebihan dikatakan mempunyai kesan buruk yang sama dengan kekurangan tidur.
Sumber: CNN Indonesia, HuffPost UK
Baca: Bahaya! Ini Yang Akan Terjadi Jika Anda Tidak Tidur Dalam Masa Sehari