Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula 26 hingga 27 Oktober 2025 bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.
Lawatan ini dibuat atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
Ini merupakan lawatan pertama Trump ke Asia Tenggara sejak beliau kembali menjawat jawatan sebagai Presiden ke-47 Amerika Syarikat pada Januari lalu.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Perdana Menteri dan Presiden Trump dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala di Putrajaya pada 26 Oktober bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan dan keselamatan.
Selain itu, kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Artikel berkaitan: Selain Trump, Ini Senarai Penuh Pemimpin Dunia Yang Bakal Hadir Sidang Kemuncak ASEAN
Artikel berkaitan: Tak Perasan Mic Masih Terbuka, Tular Rakaman Video Prabowo Minta Bertemu Dengan Anak Trump

Mereka juga akan menandatangani beberapa dokumen penting yang melibatkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan keselamatan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Menurut Wisma Putra, lawatan rasmi tersebut bakal mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat serta membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik kedua-dua negara.
Sejak menjalinkan hubungan diplomatik pada tahun 1957, Malaysia dan Amerika Syarikat kekal sebagai rakan penting dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi dan pelaburan.
Amerika Syarikat kini merupakan antara rakan dagang serta pelabur terbesar Malaysia dengan nilai dagangan pada tahun 2024 mencecah RM324.91 bilion (USD71.39 bilion).
Sumber: FB Wisma Putra
