Restoran milik GISB Holdings (GISBH) cawangan Kota Bharu, Kelantan dikatakan tidak beroperasi selepas premis mereka mula lengang sejak beberapa hari lalu rentetan dengan isu sindiket pemerdagangan dan ekspoitasi kanak-kanak yang terpalit dalam organisasi itu.
Menerusi tinjauan Berita Harian malam tadi, mereka mendapati bahawa Restoran Ikhwan (Nasi Arab) di Jalan Long Yunus dan Kedai Makan Ikhwan di Jalan Tok Guru telah ditutup sejak pagi termasuklah kedai roti dan kedai runcit milik GISBH itu.
Artikel berkaitan : GISBH Hormati Undang-Undang & Mahu Keadilan Ditegakkan Selepas CEO Ditahan Polis
Artikel berkaitan : Restoran GISBH Di Singapura Tarik Perhatian, Ada Yang Kongsi Pengalaman Makan Di Situ!
Salah seorang penduduk yang dikenali sebagai Che Man, 69, berkata, kedai makan cawangan Jalan Long Yunus itu selalu dibuka pada setiap pagi dan sangat jarang ditutup walaupun mereka tiada pelanggan yang ramai.
“Malah, pekerjanya juga tidak kelihatan lalu lalang di kawasan berkenaan. Selepas selesai solat Isyak saya sendiri banyak meluangkan masa di warung berdekatan dengan restoran milik GISBH ini.”
“Sejak kebelakangan ini, memang saya dapat lihat restoran berkenaan lengang kerana ia biasanya menjadi tumpuan ketika waktu pagi untuk sarapan selain sepanjang Ramadan kerana menyediakan pakej berbuka.”
“Sejujurnya, saya sebagai penduduk tempatan di sini tidak tahu akan perkembangan syarikat terbabit sebelum ini kerana mereka juga jarang bergaul dan hanya dalam kelompok mereka sahaja.”
Dalam pada itu, Athirah, 24, yang bekerja berhampiran dengan kawasan cawangan Jalan Tok Guru terkejut melihat pengurangan mendadak pelanggan di kedai itu sehingga ia dilihat tidak beroperasi malam tadi.
Menurutnya, sejak syarikat berkenaan terpalit dengan beberapa isu, perubahan ketara berlaku daripada segi sambutan pelanggan malah ada ketika tiada langsung pelanggan pada waktu malam.
Sumber : Berita Harian