Sikap saling bantu-membantu ni memang dah sebati dengan hidup berjiran sebab selain ahli keluarga, jiran tetangga lah orang yang paling dekat dengan kita dan boleh membantu sekiranya ada hal-hal kecemasan.
Tapi lain pula jadinya dengan lelaki ini.
Lapor New York Post, Nick Doherty telah meminta bantuan jirannya, Carl Stanojevic, 54, untuk mengeluarkan tong sampahnya semasa dia berada di luar kawasan. Takdelah sampah tu berulat pulak kalau tak diangkut cepat-cepat. Satu hal nak cuci rumah nanti bila balik.
Namun begitu, Doherty tak sangka permintaan polosnya itu disalah tafsir oleh Stanojevic yang betul-betul membawa tong sampahnya keluar as in keluar pergi dating!
Menerusi screenshot perbualan antara Doherty dan jirannya, Stanojevic dapat dilihat ada bertanyakan pada Doherty kemanakah dia mahu tong sampahnya itu dibawa keluar dengan menyenaraikan beberapa lokasi. Doherty pulak ingatkan jiran dia bergurau sekali betul-betul dia pergi bawak berjalan.
Gimik bawa tong sampah jiran ‘dating’ hanya gurauan
Berkongsikan kisah dating bersama tong sampah jirannya di laman sosial Facebook, Stanojevic yang bekerja sebagai seorang jurugambar mengaku tindakannya itu hanyalah satu gurauan dan dia hanya mahu menghiburkan orang ramai.
“Nick (Doherty) minta tolong saya bawa keluar tong sampahnya, jadi saya betul-betul bawa keluar,” katanya.
Difahamkan, sebelum memulakan date mereka, Stanojevic sempat ‘memandikan’ tong sampah berkenaan sebelum membawanya bersiar-siar di kawasan tumpuan ramai seperti taman awam, pasar raya dan pantai.
Malah, Stanojevic juga membawa tong sampah jirannya ke kedai tatu bagi mendapatkan ‘tatu’ bernombor 6 yang baru.
“Saya ada bawa ia ke McDonald’s tapi sebab tong sampah tu tak dapat suntikan vaksin lagi, jadi kena duduk di luar,” gurau Stanojevic.
Sampai ditahan pegawai daerah sebab disangka pencuri
Jelas Stanojevic, kerja gilanya itu meraih ramai perhatian sehinggakan ada yang sanggup menahannya untuk bergambar. Tak kurang juga ada yang lihat Stanojevic seperti orang gila sebab asyik heret je tong sampah itu merata.
“Saya bawa tong sampah ke pantai dan ditahan lifeguard disana. Mungkin dia risau saya nak buang sampah ke laut. Ada juga pegawai daerah tahan saya sebab ingat saya mencuri,” katanya.
Dalam pada itu, Doherty berkata dia ada menerima kesemua gambar yang dirakam jirannya saat pergi dating bersama tong sampah miliknya. Selain terhibur, Doherty sempat berseloroh mengatakan tong sampahnya mungkin akan tinggal terus di rumah Stanojevic sebab seronok dibawa bersiar-siar.
Sumber: New York Post