Kerajaan Persekutuan dianggarkan membelanjakan sehingga RM260 juta sebulan untuk bil utiliti elektrik bagi bangunan-bangunan Kerajaan seperti kompleks pejabat, sekolah, dan hospital.
Namun, dengan pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga tanpa kos (“no-cost measures”) secara menyeluruh, Kerajaan berupaya menjimatkan 3-5% daripada kos utiliti tersebut. Ini bermakna potensi penjimatan bulanan boleh mencecah antara RM7.8 juta hingga RM13 juta.
Peluang penjimatan yang signifikan ini telah menjadi fokus utama Seminar Pelaksanaan Langkah Kecekapan Tenaga di Premis Kerajaan, yang dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada 28 Julai 2025.
Seminar ini bertujuan untuk memperjelaskan Arahan Pelaksanaan Langkah Kecekapan Tenaga Tanpa Kos Di Premis Kerajaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 9 April 2025.
Antara “no-cost measures” yang ditekankan adalah langkah-langkah praktikal yang tidak memerlukan peruntukan tambahan. Ini termasuk penetapan suhu penghawa dingin pada atau lebih tinggi di semua ruang pejabat dan bilik mesyuarat, memastikan lampu dan peralatan elektrik dimatikan apabila tidak digunakan, serta mempromosikan budaya penjimatan tenaga melalui kempen kesedaran dalaman.

Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri PETRA, menjelaskan bahawa seminar seumpama ini menyediakan platform penting untuk perkongsian maklumat dan pengalaman mengenai pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga.
Beliau turut merujuk kepada kejayaan pelaksanaan inisiatif serupa di hospital-hospital awam yang telah menunjukkan impak positif dari sudut kecekapan operasi dan kelestarian alam sekitar. PETRA percaya bahawa penggunaan tenaga yang cekap dan berhemah di bangunan Kerajaan akan menyumbang kepada penjimatan besar serta menyokong matlamat negara dalam peralihan tenaga yang mampan dan pengurangan jejak karbon.