in

Populariti Bukan Segalanya, 6 Selebriti Hollywood Ini Masih Buat ‘Side Job’ Walaupun Dah Terkenal

Untitled design 46

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pernah tak korang bayangkan macam mana agaknya kalau satu hari nanti kita berpeluang jadi selebriti Hollywood? Hidup penuh glamor, wajah terpampang di setiap papan iklan, nama disebut-sebut dalam setiap filem, dan paparazi pula sentiasa mengekori ke mana saja kita pergi. Bunyi macam best, kan?

Tapi realitinya, selebriti juga manusia biasa seperti kita. Sebelum mereka dikenali, mereka pun pernah bermula dari bawah. Malah, ada juga yang memilih untuk tidak selamanya berada dalam dunia glamor dan sebaliknya mencari arah baru dalam hidup.


Jadi walaupun dunia melihat mereka serba mewah dan berjaya, ramai sebenarnya yang tetap memilih untuk bekerja seperti orang biasa. Jom tengok selebriti Hollywood mana yang memilih untuk ada pekerjaan lain di luar dunia hiburan.

Dylan Sprouse 

dylan sprouse

Pernah tak korang tengok Dylan Sprouse masa zaman The Suite Life of Zack & Cody di Disney Channel dulu? Bersama abangnya, Cole Sprouse, dua beradik ni memang antara pelakon kanak-kanak paling popular di Disney Channel sekitar tahun 2000-an. Mereka juga merupakan antara pelakon televisyen yang dibayar paling tinggi pada waktu itu.

Tapi pada tahun 2013, dunia hiburan kecoh apabila gambar Dylan tersebar di mana kelihatan dia sedang bekerja di sebuah restoran di New York City sebagai pelayan restoran. Ramai yang terkejut sehinggakan media menyatakan bekas bintang Disney ini sudah jatuh miskin dan terpaksa kerja restoran demi sara hidup.

Perkara ini membuatkan Dylan perlu untuk tampil menjelaskan bahawa dia tidak bekerja kerana terdesak atau kehabisan duit. Malah, dia menegaskan bahawa kewangannya masih kukuh dan memilih untuk bekerja di restoran kerana mahu ‘mengisi masa lapang serta menyokong ketagihan permainan video’ yang katanya agak melampau.

“Saya tidak ambil kerja ini sebab saya dah habis duit. Saya masih stabil kewangan, dan saya ambil kerja ini terutamanya untuk menyara ketagihan permainan video saya yang melampau.”

Dylan pernah menyatakan bahawa dia memang sukakan rasa produktif dan mahu kekal aktif walaupun bukan di balik layar. Bagi dia, bekerja di restoran bukan satu langkah ke belakang, tapi pengalaman hidup yang berbeza.

Selepas menamatkan pengajian ijazahnya, Dylan kembali semula ke dunia lakonan dan sehingga kini, dia masih aktif membina kerjaya dalam industri perfileman.

Kevin Jonas 

kevin jonas

Kevin Jonas yang merupakan abang sulung dalam kumpulan Jonas Brothers, kerjayanya tidak terhenti di situ apabila kumpulan mereka bubar pada tahun 2013. Sebaliknya, dia mengambil haluan yang agak berbeza dengan menceburi bidang pembinaan dan hartanah.

Menariknya, minat Kevin terhadap dunia binaan bukanlah perkara baru sebab dia sudah pun memiliki lesen kontraktor sebelum kumpulannya berpisah.

Dengan semangat usahawannya, Kevin telah menubuhnya syarikat bersama rakan niaganya, Bill Werner iaitu syarikat JonasWerner Fine Custome Homes yang fokus pada rumah mewah dan projek rumah reka bentuk khas. Projek mereka cukup besar dan pelanggan mereka juga bukan calang-calang.

Salah satu momen epik yang pernah mengejutkan semua orang ialah apabila Kevin muncul dalam rancangan realiti The Real Housewives of New Jersey sebagai kontraktor untuk Kathy Wakile untuk rumah barunya. Adegan ini menarik perhatian ramai sebab selama ni orang hanya mengenali Kevin Jonas sebagai penyanyi kumpulan Jonas Brothers saja.

Kathy dan suaminya juga menjelaskan bahawa mereka pilih Kevin dan Bill Werner bukanlah sebab glamour, tapi sebab pendekatan mereka yang praktikal dalam pembinaan, termasuklah penggunaan automasi rumah dan elemen elektronik moden.

Walaupun Kevin ambil laluan yang berlainan dari dunia muzik, dia tidak pernah tinggalkan dunia muziknya. Malah, Jonas Brothers kembali aktif selepas reunion pada tahun 2019 dan kini giat mengadakan konsert jelajah di seluruh dunia.

Jennifer Stone 

jennifer stone

Seorang lagi bekas bintang Disney yang memilih jalan berbeza ialah Jennifer Stone, pelakon yang pernah menceriakan ramai penonton sebagai Harper Finkle dalam Wizards of Waverly Place.

Namun, perjalanan hidupnya berubah sepenuhnya apabila pada usia 20 tahun, dia mula mengalami masalah penglihatan kabur, keletihan melampau dan berat badannya naik mendadak hampir 27 kilogram dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Selepas bertahun-tahun ulang-alik ke hospital dan berjumpa pelbagai doktor, Jennifer disahkan menghidap Diabetes Jenis 1 pada tahun 2013. Diagnosis itu juga menjadi titik tolak yang mengubah seluruh laluan hidupnya.

Daripada asalnya mengambil jurusan psikologi, Jennifer nekad menukar bidang kepada kejururawatan dengan tujuan membantu pesakit lain yang mungkin melalui pengalaman sama seperti dia.

Kini, dia bekerja sebagai jururawat kecemasan di Providence Saint Joseph Medical Centre di Burbank dan walaupun bertugas dalam PPE penuh, ramai orang masih mengenalinya sebagai wajah yang pernah mewarnai zaman kanak-kanak mereka.

Nikki Blonsky 

nikki

Nikki Blonsky pernah menjadi perhatian ramai ketika dia memainkan watak utama Tracy Turnblad dalam filem Hairspray. Pengkrtik filem, Roger Ebert juga pernah menyebut bahawa filem itu mungkin ‘tak sehebat’ sekiranya tiada kehadiran Nikki sebagai watak utama.

“Tanpa seseorang seperti Nikki Blonsky sebagai tunjang utama filem ini, filem tersebut mungkin akan terasa hambar. Tapi semua pelakon lain turut beraksi dengan tahap tenaga dan keceriaan yang sama macam dia, termasuklah rakan sebayanya iaitu Zac Efron, Taylor Parks dan Elijah Kelly.”

Pada usia 19 tahun, Nikki terlibat dalam satu insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Providenciales selepas bercuti di Caribbean, di mana keluarganya terserempak dengan Bianca Golden, bekas peserta rancangan America’s Next Top Model.

Insiden itu menjadi tular apabila kedua-dua pihak saling menuduh sehinggakan berlakunya pergaduhan secara fizikal, namun akhirnya semua tuduhan terhadap Nikki dan Bianca digugurkan. Nikki kemudian mengakui kepada People Magazine bahawa insiden itu sangat menghancurkan emosi dirinya dan keluarganya.

Pada tahun 2011, Nikki memperoleh lesen kosmetologi dan mula bekerja di sebuah salon di New York. Sikap rendah diri dan kesanggupan Nikki untuk melakukan kerja “biasa” bukanlah perkara baru, kerana sebelum terkenal dia pernah bekerja di Cold Stone Creamery dan di sebuah kedai kasut.

Jadi walaupun membuat ‘side job‘ lain, Nikki masih lagi menghadiri uji bakat dan kekal aktif dalam dunia lakonan. Hingga ke hari ini, dia masih muncul dalam beberapa projek televisyen dan filem.

MC Hammer 

mc hammer

MC Hammer atau nama sebenarnya Stanley Kirk Burrell pernah meletup populariti di awal tahun 90-an dengan lagu seperti U Can’t Touch This dan album Please Hammer Don’t Hurt ‘Em, yang pernah menjual lebih 10 juta salinan album di seluruh dunia.

Namun, di sebalik kejayaan itu, kehidupan glamor Hammer datang dengan kos yang sangat tinggi. Beliau pernah menjana sekitar USD 33 juta setahun, tetapi perbelanjaannya jauh melebihi pendapatan. Antara asetnya termasuk 17 ekor kuda lumba, 200 orang staf, serta rumah agam bernilai USD 30 juta.

Dan dalam pada masa kejatuhan itulah, Hammer menemui semula keimanannya dan memutusan untuk menjadi seorang pendakwah yang bertauliah. Sejak itu, beliau banyak melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan serta menubuhkan rancangan M.C. Hammer and Friends di saluran TBN (Trinity Broadcasting Network).

Walaupun kini aktif dalam pelayanan komuniti di gereja, Hammer masih sesekali membuat persembahan atau rakaman lagu, cumanya tumpuan utamanya kini lebih kepada menyampaikan mesej spiritual, motivasi dan inspirasi kepada msyarakat.

Jeremy Renner 

hawkeye

Siapa sangka, pelakon yang kini terkenal sebagai Hawkeye dalam Marvel Cinematic Universe ni sebenarnya dah lama bergiat dengan dunia pembinaan sebelum populariti datang. Jeremy Renner mula menceburi bidang house flipping sekitar tahun 2002 bersama rakan karibnya yang juga merupakan seorang pelakon, Kristoff Winters.

Waktu itu, kehidupan Renner jauh berbeza daripada imej glamor Hollywood. Dia baru mula membina nama dalam industri lakonan, tapi pendapatannya tak pernah menentu sebab hanya diberi beberapa penampilan kecil di rancangan televisyen.

Jadi demi menampung kehidupan, dia dan Winters membeli rumah usang di kawasan Los Angeles, membaikinya sendiri dan menjual semula untuk mendapatkan sedikit keuntungan.

Renner pernah menyatakan bahawa ada masanya dia tinggal di rumah yang belum siap direnovasi, iaitu hidup tanpa elektrik. Kadang-kadang, dia akan berhenti di Starbucks untuk bersiap sebelum menghadiri acara industri filem, lengkap dengan tuxedo walaupun hakikatnya dia baru saja keluar dari tapak pembinaan.

Sejak tu, Renner dan Winters dikatakan telah membeli, mengubah suai dan menjual lebih daripada 20 buah rumah di sekitar Southern California, termasuklah beberapa projek mewah bernilai jutaan dolar di kawasan Holmby Hills dan Nichols Canyon.

Walaupun kini dikenali seluruh dunia sebagai Hawkeye, Jeremy Renner masih kekal dengan minatnya dalam dunia pembinaan. Bagi dia, dengan mempunyai kerja sampingan ini ibarat satu cara untuk kembali berpijak pada bumi yang nyata di samping memiliki kehidupan glamor.

Nampaknya, jadi selebriti pun bukanlah bermakna semua orang akan berakhir dengan glamor atau kemewahan. Tak kira seberapa besar nama mereka di Hollywood, ramai dalam kalangan mereka tetap kembali kepada sesuatu yang mereka lebih minat.

Perkara ini juga mengingatkan kepada kita bahawa tiada pekerjaan yang terlalu kecil atau hina dan kadang kala, kegemilangan sebenar datang apabila seseorang itu berani melangkah keluar dari zon selesa dan mencari makna baru dalam perjalanan hidup mereka.

Sumber: The Shot, Looper

Sumber: Today
Sumber: Mamamia
Sumber: The Sun
Sumber: The Sun

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.