Polis Narathiwat menasihati rakyat Malaysia yang merancang untuk melancong ke selatan Thailand agar tidak berkunjung ke perkampungan nelayan.
Menurut Ketua Polis Narathiwat, Kolonel Pratya Baite, ia kerana kawasan tersebut dikenal pasti sebagai lokasi panas dadah.
Beliau berkata sedemikian selepas mendapat maklumat pengedar dadah di wilayah itu biasanya akan memilih perkampungan nelayan untuk membina sarang mereka.
Artikel berkaitan: “Kita tak kenal mereka” – Polis Thailand Dakwa Banyak Spekulasi Tentang Tangkapan Rakyat M’sia
“Kami mendapat maklumat bahawa pengedar dadah di wilayah ini akan menggunakan kampung-kampung ini sebagai tempat mengumpul dan menjual dadah kepada pengedar tempatan.”
Tambahnya, polis Narathiwat melakukan operasi berkala di kampung-kampung tersebut untuk menangkap mereka yang terlibat dan operasi itu akan dijalankan sepanjang masa dan setakat ini, semuanya berjaya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelancong Malaysia supaya tidak sesekali bertandang ke sana bagi mengelakkan kejadian buruk yang tidak diingini.
Jelasnya lagi, pihaknya mendapat maklumat daripada pembekal dadah Thailand yang ditahan pihak berkuasa sebelum ini.
Tambah Pratya, pil yaba dan heroin masih menjadi dadah paling popular yang dicari oleh pengedar Malaysia di Thailand, namun katanya sejak dua tahun yang lalu, polis Narathiwat tidak menahan mana-mana pengedar dadah warga Malaysia.
Ini disebabkan pusher Malaysia biasanya akan membeli dadah daripada pengedar Thailand yang berhampiran sempadan, seperti dari daerah kecil Sungai Golok.
Sumber: Harian Metro