Seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 18 buah rumah amal yang dipercayai berkait dengan sebuah syarikat terkemuka di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
Difahamkan, serbuan itu dilakukan susulan laporan yang diterima polis berkait organisasi terbabit yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.
Menurut laporan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam operasi, Op Global hari ini, 201 daripada jumlah itu adalah kanak-kanak lelaki dan perempuan.
Katanya, hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit.
“Susulan kes, seramai 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita berusia 17 dan 64 tahun,” katanya.
Memetik sumber Sinar Harian, polis memaklumkan kesemua mangsa yang diselamatkan akan menjalani saringan awal pemeriksaan kesihatan sebelum proses dokumentasi yang akan dilaksanakan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, yang dijangka akan mengambil masa 14 hari.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan menyerbu beberapa rumah amal milik sebuah syarikat di sekitar Lembah Klang, awal pagi ini.
Difahamkan serbuan dilakukan di rumah amal terletak di Puchong, Subang dan Rawang.
📸 : Orang Awam pic.twitter.com/EABkzzlOI3
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) September 11, 2024
Terdahulu, serbuan tersebut tular di media sosial apabila ia dikesan orang awam. Ada di antara mereka mendakwa melihat pihak berkuasa menyelamatkan kanak-kanak dari rumah amal itu.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian, X