Semalam, satu kejadian berlaku di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) yang mana dilaporkan seorang wanita maut selepas tercampak keluar dari van berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala Petaling Jaya.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 2.35 petang itu telah disahkan oleh Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dan mangsa bukanlah Datin Seri Pamela Ling yang dilaporkan hilang baru-baru ini.
Menurutnya, polis telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh seorang lelaki yang menghubungi talian MERS 999 selepas melihat mangsa tercampak dari sebuah van di tepi lebuh raya tersebut.
Artikel berkaitan: Kronologi Kehilangan Isteri Taikun Bisnes Sarawak, Dipercayai Diculik Ketika Dalam Perjalanan Ke Pejabat SPRM
Artikel berkaitan: Seorang Wanita Dilaporkan Hilang Ketika Dalam Perjalanan Untuk Beri Keterangan Di SPRM
Walau bagaimanapun kenderaan yang membawa mangsa dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu berlaku.
Mangsa adalah seorang wanita berusia 44 tahun dan beralamat di Menglembu, Ipoh, Perak.
“Mangsa maut di lokasi dan kematiannya disahkan oleh pihak perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, difahamkan berlaku pertengkaran di antara mangsa dan suspek yang dipercayai suaminya sebelum mangsa tercampak keluar dari van, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
Dalam pada itu, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk dibedah siasat.
Terdahulu, kes ini mendapat perhatian susulan laporan media mengenai kehilangan Pamela Ling yang menjadi tanda tanya apabila didakwa diculik lelaki dan wanita yang memakai ves serta seragam polis ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat SPRM pada 9 April lalu.
Sumber: Harian Metro