Peminat bola sepak tempatan hari ini dikejutkan dengan penularan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian simbah asid terhadap bintang Selangor FC, Faisal Halim di sebuah pusat beli belah di Damansara, pada 5 Mei lalu.
Terbaharu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan video rakaman itu adalah tulen, lapor Utusan TV.
Dalam laporan itu, pihak polis akan menyiasat pihak yang menyebarkan rakaman video itu kerana ia adalah sulit dan merupakan bahan bukti insiden terbabit.
Artikel berkaitan: Tular Rakaman CCTV Didakwa Faisal Halim Disimbah Asid, Netizen Persoal Kesahihan Video
??Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan video rakaman kamera litar tertutup yang tular memaparkan detik-detik pemain Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim disimbah asid adalah benar. https://t.co/TUJ6g30LMG
— Utusan TV (@UtusanTV) May 23, 2024
“Polis akan siasat pihak yang menyebarkan video tersebut.
“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan video tersebut bagi menjaga bahan siasatan serta sensitiviti mangsa dan keluarga,” katanya.
Menerusi video tular itu, memaparkan penyerang berselindung di belakang kereta sebelum mengekori dan menyerang Faisal dari arah belakang.
Dalam laporan sebelum ini, Faisal diserang ketika suspek sedang menaiki motosikal dan bukannya seperti di dalam rakaman CCTV yang menunjukkan si pelaku berjalan mengekori pemain itu.
Selain itu, jenis kereta yang dinyatakan sebelum ini juga berbeza di mana dalam laporan mengatakan Faisal menaiki kereta jenis Toyota Vellfire tetapi di dalam rakaman jelas kelihatan kenderaan jenis lain.
Memetik sumber Harian Metro, polis akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat mengenai penyebaran video ini.
Sumber: Utusan TV, Harian Metro