Kehilangan seorang guru berusia 46 tahun yang dikenali sebagai Hamdan Hamzah sejak Isnin lalu selepas keluar dari rumahnya pada waktu pagi untuk ke tempat kerja, terus diselubungi misteri.
Ini disebabkan kehilangannya yang sudah seminggu berlalu, polis dan penduduk kampung tidak menemui sebarang petunjuk meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan Cikgu Hamdan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata usaha mencari guru terbabit juga dilakukan melalui kenalannya namun sehingga kini belum ada perkembangan diperolehi.
Artikel berkaitan: Seorang Guru Hilang Lepas Keluar Untuk Ke Tempat Kerja Dengan Motosikal Sejak Isnin Lalu
“Sehingga ini, polis belum menerima sebarang perkembangan dan kita cuba mengesan cikgu Hamdan daripada rakan yang mungkin tahu keberadaannya.
“Pada masa kini, polis sedang mengumpul maklumat dan akan menyiasat sekiranya kehilangannya ada kaitan dengan masalah peribadi dihadapinya,” katanya.
Jiran tahu kehilangan Cikgu Hamdan selepas tular di media sosial
Sementara itu, jirannya, Junaidah Samsudin, 60, berkata dia dan penduduk di Felda Kemelah hanya mengetahui kehilangan Cikgu Hamdan selepas tular di media sosial.
Menurutnya, sehari sebelum hilang, ada kenduri doa selamat di rumah cikgu Hamdan.
“Hari itu saya nampak motosikal dia di rumah. Tiba-tiba kami dapat tahu dia hilang sampai hari ini.
“Dia pernah beritahu malas hendak mengajar tapi dia pergi juga. Ada guru besar dan guru lain pun tanya kenapa dia tak sampai lagi (ke sekolah),” katanya.
Sejak kehilangan guru tersebut, penduduk telah mencarinya termasuk menyusuri jalan yang kebiasaan dilalui untuk ke sekolah.
Selain itu, kariah masjid juga mengadakan solat hajat agar dipermudahkan segala urusan pencariannya.
Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Cikgu Hamdan disedari ahli keluarga sebelum mereka membuat laporan polis di Balai Polis Tenang, pada Rabu lalu.
Sumber: Berita Harian