Orang awam diingatkan untuk tidak sewenang-wenangnya memasang atau mempamer lambang atau emblem darjah kebesaran Pahang tanpa kebenaran, susulan mengesan aktiviti penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran berkenaan di platform e-dagang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata pihaknya menerima laporan berhubung penjualan darjah kebesaran itu baru-baru ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.
Tambahnya lagi, adalah menjadi kesalahan untuk individu yang menjual, mempamer untuk jualan atau memiliki apa-apa lambang, gelaran atau anugerah tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Pahang.
Selain itu, turut menjadi kesalahan sekiranya mana-mana pihak mempamer atau melekat bahan yang mengandungi lambang, gelaran, anugerah atau replika mengenainya di kenderaan tanpa kebenaran.
Menurut Yahaya, sekiranya mana-mana pihak yang telah melekat atau memasang lambang atau darjah kebesaran Pahang di kereta tanpa kebenaran dan perkenan Sultan Pahang, mereka perlu menanggalkannya.
Dalam masa yang sama, pihak polis akan melakukan operasi khas bagi mengesan mereka yang terlibat tambah Yahaya lagi pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang tersebut.
Yahaya berkata, siasatan penyalahgunaan lambang darjah kebesaran Pahang dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(d) bagi kesalahan memasang atau mempamer, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman dengan tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara sehingga lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.