Seorang lelaki berusia 63 tahun maut selepas berbalas tembakan dengan polis dalam satu kejadian di Taman Molek, Johor Bahru, Jumaat baru-baru ini.

Memetik laporan Malaysia Kini, kejadian berlaku sekitar jam 3.10 pagi apabila anggota polis yang sedang melakukan rondaan mengesan sebuah motosikal Honda Vario yang ditunggang oleh lelaki tersebut dalam keadaan mencurigakan. Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, suspek secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis, memaksa pihak berkuasa membalas tembakan demi mempertahankan diri.
Lelaki itu terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat. Pihak polis turut menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson di kawasan berhampiran bersama beberapa butir peluru hidup dan kelongsong peluru.
Semakan mendapati suspek memiliki 14 rekod jenayah dan berkaitan dadah, termasuk kes di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Senjata 1960. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Baca: Tiada Rakyat Malaysia Terlibat Dalam Insiden Tembak*n & Letup*n B*m Di Sungai Golok